WSC: Peserta Malaysia Pamer Prestasi Baik Pada Hari Pertama

SAO PAULO – Debaran serta keseronokan memenuhi ruang pusat pameran terbesar di Amerika Latin, Anhembi Park di sini apabila sebanyak 1,200 peserta memulakan cabaran pada hari pertama World Skills Competition (WSC) 2015.

Sebanyak 20 peserta Malaysia yang menyertai 19 acara kemahiran mempamerkan kebolehan pada gelanggang masing-masing di dalam pusat pameran berkeluasan 213,000 meter persegi itu.



Seorang daripada peserta negara, Mimi Faizura Shamsudin, 20, memulakan saingan dalam bidang teknologi fesyen bersama-sama 24 peserta negara lain termasuk dari Brazil, Colombia, Rusia dan Kanada

Pelajar Giat Mara Saratok, Sarawak itu dikehendaki melakukan lakaran rekaan fesyen serta ‘draping’ iaitu proses meletak dan menyemat fabrik pada mannequin bagi melihat gambaran tiga dimensi dalam tempoh enam jam.

Pakar fesyen negara, Salikin Sidek yang telah melatih Mimi Faizura selama dua tahun berkata anak didiknya itu juga perlu menyiapkan tugasan menjahit jaket dan menambah perhiasan pada pakaian tersebut berdasarkan kreativiti pada hari kedua dan ketiga pertandingan.

“Saya mengharapkan Mimi Faizura mampu memberikan pingat emas kepada negara kerana beliau telah berjaya menguasai kemahiran rekaan fesyen bertaraf dunia,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.

Salikin, 50, yang juga seorang pereka fesyen berkata Malaysia memerlukan lebih ramai pereka fesyen yang mampu menguasai setiap teknik dalam rekaan pakaian dan bukan sekadar mengetahui teknik lakaran semata-mata.

Katanya ia penting bagi membolehkan mereka bersaing di peringkat antarabangsa dalam industri fesyen yang semakin berkembang dengan penggunaan teknologi terkini.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia Datuk Dr Pang Chau Leong berkata peserta negara dilihat mempamerkan prestasi baik pada hari pertama pertandingan tanpa membuat sebarang kesilapan yang boleh menjejaskan misi pungutan pingat sulung negara.

“Elemen gugup dan gementar yang terdapat pada peserta-peserta pada pertandingan sebelum ini dilihat tidak ada, malah peserta mempamerkan keyakinan dalam melakukan tugasan,” katanya.

Beliau berkata ia hasil latihan intensif dari segi fizikal dan mental yang dijalani peserta bagi mengharungi pertandingan seakan olimpik bagi bidang kemahiran itu.

WSC di Sao Paolo, Brazil yang bermula pada 11 sehingga 16 Ogos itu disertai peserta dari lebih 60 negara dengan sebanyak 46 bidang kemahiran dipertandingkan termasuk mekatronik, elektronik, masakan, teknologi fesyen dan teknologi automobil. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.