Agensi Kerajaan Perlu Perkemas Sistem Pertahanan Laman Sesawang Untuk Elak Ancaman Siber

PORT DICKSON – Setiap kementerian dan agensi kerajaan diminta memperkemaskan sistem pertahanan laman sesawang mereka bagi menghadapi sebarang kemungkinan ancaman siber.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Jailani Johari berkata ini berikutan tersebarnya ancaman oleh kumpulan penggodam yang menggelarkan diri mereka Anonymous Malaysia yang dikatakan mengancam serangan siber besar-besaran terhadap Malaysia.

“Ini hanya mainan persepsi oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba menimbulkan keadaan keresahan kepada masyarakat.

Memang di setiap agensi kita telah menyarankan supaya mereka ada benteng pertahanan masing-masing supaya sekiranya ada berlaku isu ancaman siber, benda ini boleh ditepis,” katanya kepada media selepas merasmikan Kursus Asas Jati Diri dan Kepimpinan UMNO Bahagian Hulu Terengganu di sini hari ini.

Jailani turut menasihati penguna-pengguna internet supaya tidak mudah untuk mengklik mana-mana pautan yang tidak pasti kesahihannya.

“Mana-mana pautan yang tidak pasti kesahihahnya bila kita klik, itu yang kita terdedah kepada bahaya ancaman siber ini,” katanya.

Kumpulan hacktivis Anonymous Malaysia menerusi sebuah video mengumumkan perang siber terhadap kerajaan Malaysia Isnin lepas dan menyasarkan laman yang menggunakan gov.my dan edu.my kerana ia merupakan kepentingan kerajaan Malaysia.

Video lapan minit yang dimuat naik di sebuah akaun Youtube World of Buzz bertekad untuk melumpuhkan laman web di Malaysia pada 29 dan 30 Ogos ini, mulai jam enam petang hingga 11 malam.

Sementara itu, Jailani berkata kursus kepimpinan yang dianjurkan oleh UMNO Bahagian Hulu Terengganu ini yang dihadiri oleh 152 peserta bertujuan untuk untuk merapatkan ukhuwah antara kepimpinan UMNO dan kelompok masyarakat.

“Selain itu, ia juga untuk menerangkan kepada ahli-ahli UMNO berkenaan isu-isu semasa senario politik di negara kita agar apabila mereka ini pulang ke kampung masing-masing, dapat menyampaikan maklumat ini kepada masyarakat setempat,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.