Cub Prix: Modenas Umum Kembali Beraksi Di Kangar

KUALA LUMPUR – Pengeluar motosikal tempatan, Modenas mengumumkan bakal kembali ke kancah Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS dengan membariskan tiga pelumba, Mohd Syawal Mohd Noor, Mohd Syafiq Nazrol Abdullah dan Mohd Azri Haris Abdul Fattah bermula pusingan keenam di Kangar, Perlis, minggu ini.

Pengumuman ini juga menyaksikan pasukan Modenas akan tampil dengan perjanjian untuk tempoh tiga tahun.

Kali terakhir pasukan Modenas tampil di pentas Cub Prix ialah pada tahun 2012 dalam kelas CP115 dan Wira bersama pasukan Cilik Racing.

Modenas bukanlah nama asing di pentas Cub Prix apabila turut beraksi bersama pasukan Yuzy Racing pada tahun 2008 sehingga 2010 di mana mereka turut melahirkan pelumba Moto3 negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin.

“Kami gembira dengan kembalinya Modenas ke Kejuaraan Cub Prix dan kami percaya keputusan tersebut memberi faedah kepada keseluruhan industri permotoran negara kerana untuk berjaya, penglibatan golongan korporat dengan pelan jangka masa panjang amat diperlukan. Tidak ada jalan pintas atau jalan mudah untuk berjaya,” jelas Ron Hogg, Pengarah Promosi Safe Aim Mutual Sdn Bhd, pemegang hak komersial Kejuaraan Cub Prix Malaysia.

“Penyertaan Modenas bersama-sama Honda dan Yamaha ketika ini bakal menghangatkan lagi saingan dan dengan sokongan pengeluar ini memberi lebih banyak peluang dan faedah kepada pelumba.”

“Malah teknologi yang digunakan dalam Kejuaraan Cub Prix ketika ini adalah teknologi terkini, jadi kami bukan hanya melahirkan pelumba sebaliknya jurutera yang berkemahiran. Perkembangan ini adalah penting untuk generasi pelumba akan datang,” tambahnya.

Bagi pihak Modenas pula, selain sebagai salah satu usaha dan sumbangan mereka terhadap sukan permotoran negara, ia juga merupakan antara program pemasaran dan pembangunan serta kajian terhadap motosikal mereka.

“Penyertaan kami di Kejuaraan Cub Prix adalah selari dengan pelan pembangunan strategik lima tahun Modenas bagi meningkatkan jenama dan pasaran Modenas yang kini menguasai kira-kira 10 peratus pasaran motosikal negara,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Amirudin Abdul Kadir.

Modenas is set to join the CP115 grid starting from Round 6 in Kangar this weekend

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.