Cub Prix: Rozaiman Gantikan Zamri Baba Di Kangar

KUALA LUMPUR – Pasukan Givi Honda Yuzy Racing meminjamkan pelumba mereka, Mohd Rozaiman Mohd Said kepada pasukan Harian Metro Y-TEQ SCK Racing bagi menggantikan tempat Mohd Zamri Baba yang masih di dalam rawatan pada saingan pusingan keenam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis, minggu ini.

Pelumba kelahiran Pulau Pinang itu dipilih untuk beraksi bersama pasukan yang disokong oleh Honda itu berdasarkan pengalaman beraksi bersama pasukan Yuzy Racing sejak 2012 di Kejuaraan Cub Prix dan juga Kejuaraan Motosikal Asia FIM.

Pelumba itu juga mempunyai rekod cemerlang dengan pencapaian memenangi tempat ketiga dalam perlumbaan berprestij Suzuka 4-Hour ketika bergandingan bersama Sasitharen Sukumaran.

Rozaiman Mohd Said 25 will ride for SCK starting from Round 6 in Kangar

Meskipun teruja dengan peluang yang diterima, Rozaiman tetap realistik memandangkan tanggungjawab menggalas nama SCK ini bukanlah suatu tugas mudah baginya.

“Dapat beraksi bersama pasukan SCK merupakan antara impian kebanyakan pelumba kerana merupakan antara pasukan terbaik di padok Cub Prix berdasarkan pencapaian mereka selama ini. Saya akan mencuba yang terbaik dengan peluang yang diberikan ini,” jelas Rozaiman.

“Meskipun begitu, saya tidak menafikan peluang ini juga sebenarnya mendatangkan tekanan besar kepada saya apatah lagi dengan tanggungjawab menggantikan tempat Zamri. Pada masa sama peluang ini juga membolehkan saya menerima pengalaman dan pendedahan berguna untuk karier saya,” tambah Rozaiman.

“Sudah pasti pasukan akan menyediakan jentera yang kompetitif kepada saya. Saya perlu cepat menyesuaikan diri dengan jentera dan perlu mempunyai semangat untuk mencari kemenangan. Saya akan memberikan aksi yang terbaik di Kangar,” katanya bercakap tentang sasarannya pada minggu ini di Kangar.

Sementara itu, Zamri yang dibawa pulang ke Malaysia pada 16 Julai lepas masih meneruskan rawatan di Institut Kajisaraf Tunku Abdul Rahman, Hospital Kuala Lumpur dan menerima rawatan serta pemerhatian rapi oleh Datuk Dr. Mohammad Saffari Mohammad Haspani dan Dr. Azmi Alias.

Rozaiman Mohd Said in action in Melaka

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.