Cub Prix: Zaqhwan Guna Tempoh Rehat Untuk Cari Prestasi Terbaik

KUALA LUMPUR – Tempoh rehat panjang memberi ruang buat Mohd Zaqhwan Zaidi untuk kembali ke prestasi terbaik bagi memulakan saingan separuh musim kedua Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS bermula pusingan keenam di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis, hujung minggu ini.

Bekas juara CP130 itu tidak beraksi sepanjang peringkat awal musim 2015 apabila menerima peluang beraksi di dalam saingan Kejuaraan Grand Prix Dunia dalam kategori Moto2 namun mengambil keputusan menarik diri selepas beraksi sebanyak enam perlumbaan.

Keputusan itu juga menyaksikan Zaqhwan kembali ke pasukan Givi Honda Yuzy Racing, pasukan yang mengembangkan bakatnya selama ini sehingga bergelar juara keseluruhan CP130 musim 2014 dan kembali beraksi dalam kategori CP130 pada pusingan kelima di Melaka namun gagal menamatkan perlumbaan apabila terjatuh selepas enam pusingan perlumbaan.

Di sebalik kegagalan tersebut, Zaqhwan kini positif mampu bangkit memperaga aksi terbaik hasil persediaan rapi dan mengenalpasti masalah yang perlu diperbaiki sepanjang tempoh rehat lepas.

Zaqhwan Zaidi ready to take on the second half of the 2015 Cub Prix season

Malah pelumba itu sudah tidak sabar untuk kembali bersama jenteranya di Kangar pada minggu ini.

“Bukan mudah untuk saya membuat keputusan menarik diri dari saingan Moto2 namun ia penting untuk karier perlumbaan saya. Mungkin satu kesilapan apabila saya membuat keputusan terburu-buru untuk ke kejuaraan dunia tanpa memikirkan tentang perancangan rapi dan juga faktor kewangan yang kukuh,” jelas Zaqhwan.

“Mungkin saya agak terdesak dan terlalu ingin memberikan aksi yang terbaik dan menghadiahkan kemenangan pasukan sebaik kembali ke Cub Prix namun tindakan tersebut akhirnya membawa padah kepada diri sendiri kerana kesudahannya saya terjatuh dan gagal menamatkan perlumbaan.”

“Meskipun satu permulaan yang kurang baik namun memberi pendedahan dan pengalaman yang sangat berguna. Saya kini lebih bersemangat selepas tempoh rehat panjang kerana mempunayi masa untuk memperbaiki kelemahan yang ada. Pasukan juga banyak membantu saya untuk menyesuaikan diri dengan jentera Honda termasuk mengaturkan dua sesi ujian di Melaka dan Sepang,” jelas Zaqhwan.

“Saya gembira melihat perubahan Zaqhwan berbanding ketika mula kembali ke pasukan pada dua bulan lepas. Perkara biasa bagi pelumba jika mereka seperti kurang bersemangat apabila terpaksa melalui masa-masa sukar namun dia perlu ingat dengan segala apa yang berlaku, ia bukanlah penamat kepada karier perlumbaannya. Apa yang penting dia perlu bekerja lebih keras dan tidak berputus asa,” jelas pengurus pasukan Givi Honda Yuzy Racing, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini.

Zaqhwan Zaidi during the Melaka race

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.