Isu Air Hangat Dibahaskan

KANGAR – Isu air hangat dibahaskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Perlis hari ini termasuk soal gangguan bekalan air, jaminan bekalan air mencukupi sehingga tahun 2030 dan kaji semula tarif air.

Datuk Ismail Kasim (BN-Tambun Tulang) semasa membahaskan titah junjung kasih atas perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail merasmikan persidangan Dewan semalam, mahu kerajaan negeri mengkaji alternatif bagi memastikan bekalan air mencukupi dan kualiti air memenuhi piawaian.

“Menteri Besar hendaklah menggunakan kedudukan beliau untuk memohon peruntukan daripada pihak-pihak berkaitan bagi menaik taraf pengurusan Syarikat Air Perlis.

“Kerajaan negeri mesti menjamin bekalan air bersih mencukupi menjelang tahun 2030. Pada masa itu Kedah mungkin mengenakan caj air mentah yang disalurkan kepada Perlis,” katanya.

Ismail yang juga pengerusi Syarikat Pengurusan Air Negara (SPAN) meminta kerajaan negeri mengkaji semula tarif air yang kali terakhir dikaji pada 1996.

Katanya beliau sedar masalah yang dihadapi kerajaan negeri dengan tunggakan bil air berjumlah lebih RM7 juta.

“Biarlah rakyat marah saya … saya buat begini (minta naik tarif) bukan sehingga membebankan rakyat tetapi mengambil kira kos pengurusan dan merawat air telah meningkat berkali ganda,” kata Ismail.

Asmaiza Ahmad (BN-Chuping) pula meminta masalah gangguan bekalan air pada setaip Ramadan dan Aidilfitri diatasi.

“Ramai mengadu kepada saya … masalah air di Perlis bukan perkara baharu,” katanya.

Shukri Ramli (PAS-Sanglang) dalam soalan lisannya sebelum itu bertanya sama ada kerajaan negeri bercadang menghapuskan tunggakan bil air yang tidak dijelaskan oleh pengguna.

Di luar Dewan, Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man ketika diminta mengulas isu itu berkata, bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini kira-kira 60 peratus pengguna air gagal menjelaskan bil mereka dan ini tidak termasuk tunggakan sebelum 31 Dis 2014..

“Kerajaan negeri bersetuju tunggakan bil air sebelum 31 Disember 2014 dibayar setelah satu kaedah sesuai diputuskan termasuk diberi pengecualian sebahagian atau bayaran secara ansuran,” katanya.

Katanya bagi mengatasi masalah air di beberapa kawasan seperti di Felda Chuping dan Batu Bertangkup, penyelesaian jangka panjang iaitu pemasangan tangki air berkapasiti 200,000 liter dijangka selesai tidak lama lagi. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.