Kementerian Pendidikan Pandang Serius Isu Sekolah Beroperasi Tanpa CF

SIK – Kementerian Pendidikan memandang serius berhubung sekolah beroperasi tanpa memperoleh Sijil Layak Menduduki (CF) dan akan mengambil tindakan segera bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kementerian juga akan membuat inventori untuk melihat bilangan sekolah rendah dan menengah di negara ini, yang beroperasi tanpa memiliki CF.

“Kebanyakan sekolah beroperasi tanpa CF ini membabitkan penglibatan konsultan yang berurusan dengan kontraktor, bangunan sekolah sudah siap dibina namun tidak mempunyai CF.

“Masalah CF ini suatu isu serius kerana tidak memenuhi syarat majlis daerah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Sik, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sekolah di Sik yang beroperasi tanpa memiliki CF. Difahamkan, keseluruhannya terdapat 24 sekolah di Kedah beroperasi tanpa CF iaitu sebuah di Sik/Baling, Kuala Muda/Yan (6), Kubang Pasu (6), Kota Setar (6), Kulim/Bandar Baharu (3) dan Langkawi (2).

Sekolah-sekolah terbabit mula beroperasi sekitar 2001 hingga 2004, manakala kos pembinaannya antara RM6 juta dan RM22 juta.

Mahdzir turut akan meminta pegawai daripada kementerian dan jabatan untuk berunding dengan PPD terbabit untuk mencari jalan menyelesaikan masalah tersebut.

Sementara itu, Mahdzir yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO, bersetuju untuk mempertimbangkan permohonan UMNO Bahagian Sik berhubung pengasingan PPD Baling dan Sik, selepas beliau mendapatkan semua maklumat berkaitan termasuk bilangan kakitangan sedia ada.

“Saya tidak mahu berlaku isu kekurangan kakitangan, soal perjawatan yang paling penting, kalau tidak seimbang dan perlu ambil guru untuk diletakkan di PPD sebagai interim, ia akan menjadi masalah kepada guru kerana masuk ke PPD dengan gaji sedia ada,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.