Penerangan Terengganu Anjur Pertandingan Keceriaan Sempena Hari Kebangsaan 2015

KUALA TERENGGANU – Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JPNT) menganjurkan Pertandingan Keceriaan Bulan Kebangsaan sempena sambutan Hari Kebangsaan 2015 bermula hari ini hingga 31 Ogos.

Pertandingan itu menawarkan hadiah keseluruhan wang tunai berjumlah RM11,500 pada peringkat negeri yang dibahagikan kepada lapan kategori iaitu bangunan kerajaan, bangunan swasta, kampung (tradisional, kampung baru, estet dan felda), sekolah, taman perumahan, individu, pintu gerbang dan Anjung Komuniti 1Malaysia.

Pengarah JPNT Nasrudin Mahmud berkata bagaimanapun, tiada hadiah wang tunai bagi kategori bangunan kerajaan kerana pemenang akan mewakili negeri untuk diadili pada peringkat kebangsaan yang menawarkan wang tunai keseluruhan bernilai RM45,000.

Katanya peserta diminta menggunakan daya kreativiti masing-masing bagi menonjolkan sambutan perayaan Bulan Kebangsaan serta menampakkan semangat patriotisme ketika membuat hiasan.

“Mereka boleh menggunakan apa sahaja termasuk barang terbuang seperti tin minuman, kotak, plastik terpakai dan mengolahkannya menjadi sesuatu yang menarik dan bersesuaian dengan tema sambutan Bulan Kebangsaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini Khamis.

Pertandingan yang memasuki kali keenam tahun ini bertujuan untuk memupuk semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat selain menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.

Mereka yang berminat juga boleh melayari laman web www.penerangan.gov.my/terengganu atau menghubungi Mohd Idris Deraman menerusi talian 09-6267826. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.