Najib Minta Orang Ramai Kongsi Pandangan Berkaitan Bajet 2016

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak meminta orang ramai berkongsi pandangan dan pendapat bagi kategori pekerjaan dalam laman khas #Bajet 2016, akan datang.

Menerusi laman Facebooknya hari ini, Perdana Menteri berkata, laman khas yang akan disediakan, merangkumi 15 kategori itu membolehkan rakyat berkongsi sesuatu topik berdasarkan kategori pilihan mereka.

“Kategori Pekerjaan dalam laman khas ‪#‎Bajet2016‬ adalah ruang anda berkongsi pandangan mengenai topik berkaitan.

“Teruskan mengikuti kami untuk mengetahui bagaimana anda boleh menyumbang kepada #Bajet2016 melalui laman khas tidak lama lagi,” katanya.

Lima belas kategori itu Kos Sara Hidup; Perumahan dan Kehidupan Bandar; Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan; Pengangkutan dan Infrastruktur; Pembangunan Desa; Pembangunan Ekonomi; Pendidikan; Keselamatan Awam dan Rasuah serta Belia dan Sukan.

Kategori lain, Kebajikan Sosial: OKU dan Golongan Kurang Bernasib Baik; Kemudahan Awam; Alam Sekitar dan Pertanian; Pekerjaan; Pencukaian , Perniagaan dan Kewangan serta Budaya dan Pelancongan.

Bajet 2016 dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 23 Oktober ini dengan fokus memperkukuh pertumbuhan, memperluas keterangkuman dan memastikan kemampanan fiskal. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.