Penggunaan Vape Perlu Diaktakan

Rokok Elektronik yang lebih dikenali sebagai Vape, bukan sahaja menjadi alternatif kepada rokok dan usaha perokok untuk berhenti merokok, tetapi Vape kini telah menjadi satu trend dan ikutan terutama anak-anak muda hari ini.

Kebanyakan perokok telah mula beralih kepada Vape sebagai satu usaha untuk berhenti merokok, mungkin ianya dilihat agak baik.

Namun demikian, Vape juga turut menjadi satu trend dan gaya hidup bilamana individu yang tidak merokok telah mula menghisap Vape.

Kanak-kanak dan remaja sekolah juga tidak terkecuali daripada terlibat dengan fenomena Vape ini.

Memandangkan penggunaan Vape pada hari ini dilihat semakin meluas malahan kedai-kedai menjual barangan Vape juga turut tumbuh seperti cendawan selepas hujan, maka saya berpendapat adalah amat perlu untuk penggunaan Vape ini mula diaktakan.

Bukanlah niat saya untuk menyusahkan pengguna-pengguna Vape tetapi langkah mengaktakan penggunaan Vape pada hari ini dilihat amat perlu supaya dapat mengelakkan penyalahgunaannya.

Kepada pengguna-pengguna Vape atau gemar dikenal sebagai ‘Bangsa Vape’ diharap agar tidak melantun secara melulu sebaliknya, bacalah entri ini sehingga titik terakhir.

Terdapat sebab-sebab yang amat relevan kenapa saya menyarankan agar penggunaan Vape ini amat perlu diaktakan.

vape

Sekiranya kita pergi kemana-kemana kedai yang menjual Vape, kita akan melihat tanda amaran yang tertulis “kanak-kanak bawah 18 tahun tidak dibenarkan”.

Namun soalnya kini, sekiranya kanak-kanak sekolah rendah mahupun remaja dibawah usia 18 tahun membawa dan menghisap Vape, apakah mereka salah?

Jawapannya, tidak. Ini adalah kerana tiada sebarang akta yang boleh mengekang penggunaan Vape dikalangan kanak-kanak dibawah umur 18 tahun kerana Vape bukanlah rokok malahan terdapat juga cecair Flavour Vape yang tidak mempunyai nikotin.

Dari segi undang-undang, ianya tidak salah, mungkin sekadar dilihat salah dimata masyarakat.

Sekiranya penggunaan Vape mula diaktakan, maka penggunaan Vape dikalangan kanak-kanak dan remaja dibawah umur mampu dikekang dan dibanteras.

Kita sebagai masyarakat juga boleh menyuarakan kesalahan mereka dari segi undang-undang sekiranya kita melihat sesiapa dibawah umur yang membawa atau menghisap Vape.

Dengan mengaktakan penggunaan Vape, ianya juga memudahkan pihak sekolah dalam usaha membanteras penggunaannya dikalangan pelajar-pelajar sekolah.

Tanpa sebarang akta yang mengekang penyalahgunaan Vape dikalangan kanak-kanak dan remaja bahawa umur, Vape hanyalah sejenis permainan atau peralatan elektonik kepada golongan ini.

Selain mengekang penyalahgunaan Vape dikalangan kanak-kanak dan remaja bahawa umur, mengaktakan penggunaan Vape juga dapat melindungi pengguna-pengguna Vape dari segi keselamatan penggunaan dan juga melindungi hak-hak pengguna.

Mungkin ada yang tidak tahu, Vape datang dalam pelbagai jenama dan jenis serta parts (bahagian) dan juga aksesori.

Sebagaimana barangan elektikal dan elektronik, Vape juga mempunyai jenama tiruan.

Sebagai pengguna, bukankah baik jika pengguna-pengguna Vape juga turut dilindungi menerusi akta yang bersesuaian.

Bagaimana jika anda sebagai pengguna Vape ditipu pekedai dengan menjual kompartmen dan barangan tiruan Vape kepada anda?

Bagaimana anda mahu melindungi diri anda sebagai pembeli dan dimana anda ingin mengadu untuk mendapatkan hak sebagai pengguna?

Kemana anda hendak membuat laporan sekiranya barangan tiruan Vape mengundang isu keselamatan kepada anda, seperti barangan yang meletup ketika anda sedang menghisap Vape, sedangkan tiada akta yang mewajarkan anda untuk mengambil sebarang tindakan?

Walaupun kejadian-kejadian buruk belum lagi terjadi kepada mana-mana pengguna Vape setakat ini, namun demikian, alangkah baiknya jika anda sebagai pengguna mempunyai hak yang dilindungi dibawah akta bersesuaian sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

Vape bukan rokok, oleh itu ianya tidak terkandung dibawah akta tembakau, tambahan pula terdapat Flavour Vape yang tiada kandungan nikotin didalamnya.

Oleh itu, saya amat menyarankan agar pihak kerajaan dapat mengaktakan penggunaan Vape dan para pengguna Vape juga perlu menyokong saranan ini demi kebaikan semua pihak.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.