FGV Tidak Naikkan Gaji Pekerja Ladang

KUALA LUMPUR – Felda Global Ventures Bhd (FGV) pada Isnin menjelaskan bahawa ia tidak menaikkan gaji pekerja ladangnya.

Dalam kenyataan pada Isnin, syarikat mengulangi bahawa dasar buruhnya berpandukan kepada Persatuan Pengeluar-pengeluar Pertanian Tanah Melayu (MAPA), yang menyediakan standard industri mengenai gaji minimum, dan dikawal selia oleh Kementerian Sumber Manusia.

“Kami tidak menaikkan gaji pekerja ladang kami, termasuk pekerja kilang minyak sawit, dan pekerja am yang lain, sebanyak 8-10 peratus berkuat kuasa 1 April, 2015, seperti dicadangkan dalam laporan.

“Bagaimanapun, kajian pelarasan gaji masih dilaksanakan dalam FGV dan sebagai entiti senaraian awam, sebarang perubahan dalam dasar buruh FGV memerlukan kelulusan daripada lembaga pengarah kami,” menurut FGV.

FGV berkata demikian susulan laporan media baru-baru ini, bertajuk, Maybank IB Kekalkan Saranan ‘Neutral’ Ke Atas Sektor Perladangan pada 12 Ogos, 2015.

Laporan itu menyatakan: ‘Peneraju perladangan yang besar termasuk Felda Global Ventures Holdings Bhd dan Kuala Lumpur Kepong Bhd, antara lain, bersetuju untuk menaikkan gaji pekerja ladang mereka (termasuk pekerja kilang minyak sawit dan pekerja am yang lain) sebanyak 8-10 peratus mulai 1 April, 2015. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.