Salleh Minta SKMM Jumpa Pengendali Laman Sosial, Bendung Maklumat Palsu

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diarah segera bertemu dengan pengendali Facebook, Google dan Twitter bagi meningkatkan kerjasama menyekat kegiatan penyebaran maklumat palsu dan khabar angin menerusi media sosial berkenaan di Malaysia.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, berkata walaupun mereka memang sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa di negara ini, namun usaha berkenaan perlu ditingkatkan lagi.

“Memang terdapat undang-undang di Malaysia yang mentadbir penyebaran maklumat palsu dan belum disahkan. Namun adalah salah di sisi undang-undang jika maklumat itu dimuat naik dan disebarkan kepada umum.

“Ketika ini, meskipun pihak berkuasa boleh menyekat akses atau menghalang aplikasi seperti itu, mereka tidak akan berbuat demikian memandangkan majoriti pengguna media sosial menggunakan aplikasi berkenaan secara positif dan bukan bagi tujuan negatif atau untuk mencela,” katanya dalam satu kenyataan menerusi blognya http://sskeruak.blogspot.com sebentar tadi.

Justeru, Salleh mengingatkan orang ramai bahawa ini tidak bermakna mereka boleh memuatkan naik maklumat tidak disahkan tanpa menghormati undang-undang negara.

Katanya, langkah itu perlu kerana isu penyebaran maklumat palsu menerusi media sosial dan portal berita dalam talian kini menjadi tumpuan orang ramai sekarang.

Beliau berkata, orang ramai juga memahami situasi bahawa undang-undang sedia ada tidak membataskan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menyebarkan maklumat palsu menerusi laman sosial dan portal berita atas talian.

“Langkah itu perlu kerana kegiatan penerbitan atau memuat naik maklumat sensitif atau belum disahkan mungkin boleh mencetuskan keadaan tidak diingini yang menjejaskan keselamatan awam.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, menjadi suatu kewajipan untuk melindungi warga negara ini daripada bahaya, termasuk ancaman yang dibawa menerusi bahan yang dimuatkan dalam media sosial dan internet.

“Oleh itu, kerjasama lebih rapat daripada penyedia media sosial adalah mustahak demi kepentingan awam bagi membantu pihak berkuasa mendukung undang undang dan melindungi rakyat di negara ini daripada bahaya,” katanya.

Sebagai contoh, Salleh berkata pada 2014, dianggarkan 78 peratus daripada permohonan SKMM untuk pengeluaran bahan kandungan sudah dilaksanakan oleh penyedia media sosial, dengan pelaksanaan oleh Facebook merangkumi 81 peratus daripada permohonan SKMM.

“Perangkaan terkini setakat akhir Julai 2015 menunjukkan 49 peratus daripada permohonan SKMM mendapat tindakan sewajarnya, 33 peratus oleh YouTube dan 42 peratus oleh Facebook.

“Sungguhpun penyedia media sosial memberi kerjasama, kami meminta mereka supaya lebih sensitif dengan persekitaran di tempat kita,” katanya. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.