Cub Prix: Fazrul Raih Hatrik Di Kangar

KANGAR – Ahmad Fazrul Sham meraih gelaran hatrik pertamanya dalam karier perlumbaan CP130 setelah muncul juara pada perlumbaan pusingan keenam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis, Ahad.

Selepas aksi kurang konsisten sepanjang beberapa musim lepas, pelumba Yamalube AHM itu kini tampil memperaga aksi terbaik meraih kemenangan ketiga selepas pusingan keempat di Terengganu dan pusingan kelima di Melaka apabila berjaya menamatkan 18 pusingan perlumbaan yang berlangsung dalam cuaca hujan dengan masa keseluruhan 14’15.696s menewaskan pelumba PETRONAS Yamaha-CKJ, Ahmad Afif Amran di tempat kedua.

Ahmad Fazrul Sham during the rain-hit CP130 race in Kangar
Ahmad Fazrul Sham

Afif bagaimanapun harus diberi pujian setelah berjaya mempamerkan semangat juang tinggi apabila masih berupaya meneruskan perlumbaan dan mengekalkan kedudukan di kedudukan kedua sekalipun dua kali terjatuh sepanjang perlumbaan dan menamatkan perlumbaan dengan masa 14’20.048s.

Sementara itu, juara musim 2014, Mohd Zaqhwan Zaidi yang kembali beraksi di pentas Kejuaraan Cub Prix bermula pusingan kelima di Melaka setelah beraksi di Kejuaraan Moto2 Grand Prix Dunia sebelum itu berjaya menemui semula sentuhan setelah berjaya menempatkan diri di kedudukan ketiga dengan masa 14’20.422s.

“Berlumba dalam keadaan hujan seperti hari ini, apa sahaja boleh berlaku,” jelas Fazrul mengulas tentang perlumbaan.

“Saya sendiri juga sebenarnya kurang yakin untuk memenangi perlumbaan meskipun bermula dari petak ketiga. Cuma setelah mendahului kedudukan apabila pendahulu, Mohd Fitri Ashraf Razali terjatuh dan kemudiannya saya berjaya memintas Afif memberi sedikit keyakinan saya untuk mengekalkan kedudukan sehingga ke garisan penamat,” tambahnya.

“Saya cuba untuk mengekalkan kedudukan namun pada masa sama bimbang akan terjatuh kerana yang penting bagi saya adalah untuk mengumpul mata sebanyak mungkin, dan kira-kira berbaki lima pusingan sahaja lagi, barulah saya menyedari keadaan saya sudah agak selesa di depan dan kemudiannya saya lebih berhati-hati bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini sehingga ke garisan penamat,” jelas Fazrul yang kini mendahului senarai pelumba CP130 dengan 95 mata.

Ahmad Fazrul Sham 11 heading the CP130 race in front of Ahmad Afif Amran 50

Mengekori di belakang ialah duo PETRONAS Yamaha Maju Motor iaitu abangnya, Ahmad Fazli Sham dengan 70 mata dan Abd Muhaimin Roslan, 69 mata.

“Masih terlalu awal untuk memikirkan tentang gelaran. Perbezaan mata ketika ini juga masih belum selamat kerana ada 100 mata maksimum lagi yang boleh diraih. Saya hanya memikirkan untuk mencatat keputusan terbaik pada setiap pusingan akan datang dan melihat bagaimana kedudukan saya pada penghujung musim nanti,” katanya menyentuh tentang harapan untuk bergelar juara keseluruhan musim 2015 ketika perlumbaan berbaki empat pusingan lagi.

Dalam kategori CP115, kepantasan Kasma Daniel Kasmayuddin sukar untuk dikejar oleh mana-mana pelumba apabila berjaya meraih kemenangan keempat berturut-turut pada musim ini.

Pelumba PETRONAS Yamaha Maju Motor itu selesa mendahului dari awal perlumbaan sebelum melintasi garisan penamat dengan masa keseluruhan 11’57.770s malah pelumba muda berusia 15 tahun itu turut mencatat masa terpantas dalam kesemua sesi latihan pada minggu ini.

Tempat kedua dimenangi Ahmad Syukran Aizat (PETRONAS Yamaha-CKJ) dengan masa 12’03.520s manakala Mohd Iqbal Amri Malek (Felda PB Racing) meraih podium pertamanya pada musim ini setelah menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan masa 12’06.504s.

“Bagi yang menyaksikan perlumbaan sama ada di kaca televisyen ataupun di litar, mungkin mereka lihat saya meraih kemenangan dengan mudah dan bersahaja, tetapi sebenarnya saya agak bimbang ketika hendak memulakan perlumbaan memandangkan perlumbaan berlangsung dalam keadaan hujan.”

“Apa sahaja boleh berlaku dalam cuaca seperti ini sama ada terjatuh atau tergelincir jadi saya tidak boleh melakukan sebarang kesilapan. Mujurlah saya berjaya melalui perlumbaan dengan baik dan berjaya mengekalkan momentum seperti biasa,” jelas Kasma Daniel yang kini terus mendahului senarai keseluruhan dengan mengumpul 120 mata.

Tengku Amirul Haffiruddin (Motul Yamaha YY Pang) yang gagal mengutip sebarang mata setelah menamatkan saingan di kedudukan ke-16 kekal di tangga kedua dengan 86 mata dan Ahmad Syukran ketiga, 69 mata.

Harith Farhan won the WIRA race in Kangar
Harith Farhan

Sementara itu, Harith Farhan Baharin terus mempamerkan kehebatannya apabila berjaya meraih kemenangan kelima berturut-turut sekaligus terus unggul di tangga teratas dalam senarai keseluruhan pelumba Wira.

Pelumba Kozi Yam Honda Racing itu menamatkan 12 pusingan perlumbaan dengan masa 9’27.114s menewaskan Saiful Izman Ahmad Zamani (Felda AFB Tech Cardinals Racing) di tempat kedua dengan masa 9’30.168s manakala Mohd Khairul Ikhwan Ajis (Espada William Racing) ketiga, 9’31.944s.

“Saya sedikit kecewa dengan kesilapan yang berlaku sewaktu peringkat saringan apabila saya sekadar memulakan perlumbaan akhir dari petak ke-13. Namun saya tekad untuk memberi aksi terbaik dan cuaca hujan juga memberikan sedikit kelebihan kepada saya.”

“Saya seringkali berlatih di jalan basah memandangkan cuaca di kampung halaman saya di Terengganu juga sentiasa hujan. Saya bersyukur dan berterima kasih kepada seluruh pasukan kerana menyediakan jentera terbaik untuk membantu saya meraih kemenangan musim ini,” jelas Harith.

Kemenangan ini membantu Harith untuk terus kekal mendahului kedudukan keseluruhan bagi mengulangi pencapaian rakan sepasukan, Khairul Idham Pawi yang bergelar juara keseluruhan kategori Wira pada musim 2014.

Harith kini mengumpul 145 mata, jauh mendahului Saiful Izman di tangga kedua dengan mengumpul 93 mata dan Khairul Ikhwan ketiga, 70 mata.

CP130 Podium - P1 Ahmad Fazrul Sham P2 Ahmad Afif Amran P3 Zaqhwan Zaidi
Podium CP130

Keputusan
CP130
Final
1. Ahmad Fazrul Sham (Yamaha) 14’15.696s
2. Ahmad Afif Amran (Yamaha) 14’20.048s
3. Zaqhwan Zaidi (Honda) 14’20.048s
4. Adib Rosley (Yamaha) 14’27.391s
5. Rozaiman Mohd Said (Honda) 14’28.248s

Kedudukan Keseluruhan
1. Ahmad Fazrul Sham (Yamaha) 95 mata
2. Ahmad Fazli Sham (Yamaha) 70 mata
3. Abdul Muhaimin Roslan (Yamaha) 69 mata
4. Zamri Baba (Honda) 60 mata
5. Ahmad Afif Amran (Yamaha) 58 mata

Anugerah Berpasukan
1. PETRONAS Yamaha Maju Motor 156 mata
2. Yamalube AHM 133 mata
3. PETRONAS Yamaha CKJ 128 mata
4. Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing 128 mata
5. Motul Yamaha YY Pang 98 mata

CP115 Podium - P1 Kasma Daniel P2 Ahmad Syukran Aizat P3 Iqbal Amri Malek
Podium CP115

CP115
Final
1. Kasma Daniel Kasmayudin (Yamaha) 11’58.770s
2. Ahmad Syukran Aizat (Yamaha) 12’03.520s
3. Iqbal Amri Abd Malek (Yamaha) 12’06.504s
4. Fareez Afeez (Yamaha) 12’06.784s
5. Azam Omar (Yamaha) 12’10.474s

Kedudukan Keseluruhan
1. Kasma Daniel Kasmayudin (Yamaha) 120 mata
2. Tengku Amirul Haffiruddin (Yamaha) 86 mata
3. Ahmad Syukran Aizat (Yamaha) 69 mata
4. Fareez Afeez (Yamaha) 53 mata
5. Emir Firdaus Hasan (Yamaha) 52 mata

Anugerah Berpasukan
1. PETRONAS Yamaha Maju Motor 140 mata
2. Motul Yamaha YY Pang 131 mata
3. PETRONAS Yamaha CKJ 113 mata
4. FELDA PB Racing A 102 mata
5. M Seki Liberty Honda 63 mata

WIRA
Final
1. Harith Farhan Baharin (Honda) 9’27.114s
2. Saiful Izman Ahmad Zamani (Yamaha) 9’30.168s
3. Khairul Ikhwan Ajis (Yamaha) 9’31.944s
4. Izzat Rafiq (Yamaha) 9’33.175s
5. Amirul Hakim Rizal (Yamaha) 9’34.946s

Kedudukan Keseluruhan
1. Harith Farhan Baharin (Honda) 145 mata
2. Saiful Izman Ahmad Zamani (Yamaha) 93 mata
3. Khairul Ikhwan Ajis (Yamaha) 70 mata
4. Amirul Hakim Rizal (Yamaha) 62 mata
5. Irfan Rosnizam (Yamaha) 58 mata

 

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.