Cub Prix: Zaqhwan Gembira Kembali Ke Podium

KANGAR – Juara bertahan CP130, Zaqhwan Zaidi gembira kerana dapat menjejakkan kaki di atas podium pada pusingan keenam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Kangar, Perlis, Ahad, sekalipun dibayangi kejayaan Ahmad Fazrul Sham dan Ahmad Afif Amran.

Zaqhwan sememangnya cukup optimis dengan peluang di Kangar setelah mencatat keputusan positif ketika dua sesi ujian yang dilakukan pasukan bersama pasukan Givi Honda Yuzy Racing malah keyakinannya bertambah setelah berjaya berada di kelompok 10 pelumba terbaik ketika sesi latihan pada hari Sabtu.

Pelumba berusia 21 tahun itu juga berhasrat untuk memulakan perlumbaan dari barisan depan namun malangnya dia melakukan kesilapan ketika sesi Superpole yang menyaksikan dia sekadar bermula dari barisan ketiga.

Zaqhwan Zaidi on the podium with CP130 winner Ahmad Fazrul Sham in Kangar

Namun Zaqhwan tetap tampil dengan cemerlang apabila berjaya memacu jentera Honda yang digunakannya dengan baik untuk menaiki podium setelah berjaya mengetepikan cabaran pelumba Harian Metro Y- TEQ SCK Honda, Rozaiman Mohd Said sebelum pencabarnya itu melakukan kesilapan dan ketinggalan di belakang.

Meskipun gagal untuk memberikan cabaran terhadap Ahmad Fazrul Sham dan Ahmad Afif Amran yang menamatkan perlumbaan sebagai juara dan naib juara, Zaqhwan tetap gembira kerana berjaya menghadiahkan podium buat pasukannya.

“Perasaan saya sangat gembira kerana dapat kembali ke podium,” jelas Zaqhwan.

“Banyak perubahan yang saya dan pasukan Givi Honda Yuzy Racing lakukan sebelum menuju ke Kangar dan kami terus mempertingkatkan keupayaan jentera sewaktu sesi latihan dan ujian masa. Namun kesilapan ketika sesi Superpole menjadikan peluang untuk muncul juara agak sukar,” ujarnya.

“Jika perlumbaan berlangsung dalam keadaan litar kering, mungkin peluang agak sukar namun kami bernasib baik kerana cuaca hujan dan litar basah sewaktu perlumbaan akhir. Sesiapa sahaja ada peluang dalam keadaan seperti itu. Menyedari peluang agak terbuka, saya cuba untuk menempatkan diri di kedudukan terbaik dari peringat awal dan ditambah dengan beberapa pelumba yang terjatuh membuka lebih peluang untuk saya menaiki podium.”

“Saya berharap momentum seperti ini akan berterusan pada baki empat pusingan akan datang. Dengan baki 100 mata maksimum yang ada, saya percaya peluang untuk berada di kedudukan lima pelumba terbaik keseluruhan pada penghujung musim nanti masih terbuka,” tambahnya.

Zaqhwan Zaidi during the CP130 race in Kangar

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.