Malaysia Masih Kurang Tenaga Mahir – Razali Ibrahim

ROMPIN – Malaysia memerlukan 37 peratus lagi tenaga mahir bagi membolehkannya mencapai status negara maju menjelang 2020, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim.

Beliau berkata pada masa ini, negara mengalami kekurangan tenaga mahir yang ketara dalam sektor minyak dan gas, kimpalan dan elektronik.

“Jika negara tidak dapat mencapai 60 peratus tenaga mahir tempatan, kita terpaksa bergantung kepada pekerja asing,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Kerjaya Berasaskan Sektor (SFCF) di Kampus Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) di Muadzam Shah di sini, hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UNITEN Prof Dr Kamal Nasharuddin Mustapha dan Anggota Parlimen Rompin Datuk Hasan Arifin.

Razali berkata generasi muda negara perlu digalakkan mengambil bidang kemahiran dan vokasional bagi membantu pembangunan negara ke arah mencapai status negara maju.

Justeru itu, katanya ibu bapa perlu memberi galakan kepada anak-anak melanjutkan pengajian dalam bidang berkenaan selepas tamat persekolahan.

SFCF ialah pameran kerjaya yang memberi tumpuan kepada 11 sektor dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) termasuk minyak dan gas, elektronik dan elektrik, teknologi maklumat, bioteknologi, kewangan, perakaunan, pelancongan dan pendidikan.

UNITEN adalah satu daripada tujuh lokasi SFCF dalam usaha meningkatkan kesedaran pelajar mengenai bidang yang patut diceburi selepas menamatkan pengajian masing-masing. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.