6 Anggota Pasukan Keselamatan Ditahan Terbabit Aktiviti IS

KUALA LUMPUR: Enam anggota pasukan keselamatan antara 10 suspek yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti kumpulan militan Negara Islam (IS) dalam operasi serentak di enam negeri, semalam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata lapan suspek lelaki dan dua suspek wanita itu adalah rakyat Malaysia itu berusia antara 24 hingga 42 tahun.

Selain enam anggota pasukan keselamatan, beliau berkata dua lagi suspek adalah kakitangan kerajaan, seorang bekas pereka bentuk dalaman dan seorang guru tadika.

“Semua mereka disyaki terbabit dalam aktiviti mempromosi ideologi kumpulan pengganas IS, mengumpul dana untuk membantu kumpulan militan IS (dan) mengatur pemergian rakyat Malaysia ke Syria bagi menyertai kumpulan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khalid berkata, mereka juga terbabit dalam perancangan membeli senjata api bagi tujuan melancarkan serangan di Malaysia, membantu penyusupan masuk suspek IS yang kembali dari Syria serta merekrut rakyat negara ini untuk menyertai kumpulan terbabit, selain terbabit menyembunyikan maklumat berhubung aktiviti IS.

Beliau berkata, semua mereka ditahan kerana melakukan kesalahan berkaitan keganasan mengikut Kanun Keseksaan (Akta 574) dan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747). – BERITA HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.