Lawatan Tempat Bersejarah Di Madinah Bantu Kukuhkan Ketakwaan Jemaah Haji

MADINAH – Program lawatan ke tempat bersejarah yang disertai jemaah haji Malaysia di sini dilihat mampu mengukuhkan lagi ketakwaan mereka kepada Allah, kata Pengurus Ibadat (Madinah) Tahung Haji, Mohd Razali Zakaria.

Lawatan mereka ke Bukit Uhud, medan perang kedua tentera Islam di bawah pimpinan Rasullullah menentang tentera Bani Quraish selepas Perang Badar di sini misalnya dapat menjadikan mereka lebih bersedia untuk menunaikan ibadat haji apabila berangkat ke Makkah nanti.



“Bukit Uhud misalnya, menurut hadis riwayat Bukhari dan Muslim, sebuah bukit yang amat menyintai Rasulullah SAW dan Rasul juga amat menyintainya.

Menurut hadis riwayat Bukhari juga, Bukit Uhud dijanjikan ditempatkan di syurga, insya-Allah, bersyukurlah kita dapat melihat Bukit Uhud, yang menyimpan pelbagai peristiwa besar dalam perjuangan Rasulullah menegakkan agama Islam,” katanya.

Mohd Razali berkata peristiwa Perang Uhud jelas menunjukkan bahawa tarikan dunia, sikap tamak dan mengingkari perintah Rasul, akhirnya hanya membawa kepada kebinasaan.


Pemandangan Bukit Uhud

Jemaah haji Malaysia yang tiba di Madinah dibawa menziarahi tempat-tempat bersejarah di Madinah termasuk Bukit Uhud setinggi 1,000 meter dari aras laut, yang terletak 5km dari kota Madinah.

Selain Bukit Uhud, bakal jemaah haji turut dibawa menziarahi masjid pertama dibina dalam sejarah Islam iaitu Masjid Quba’, makam syuhada, Masjid Qiblatain (masjid yang pernah berkiblatkan Baitul Maqdis) dan Masjid Jumu’ah (masjid pertama solat Jumaat di Madinah).

“Pada hari kedua selepas jemaah haji tiba di Madinah, mereka dibawa menziarahi Masjid Nabawi dan pada hari ketiga di Madinah, mereka dibawa menziarahi tempat bersejarah dan masjid-masjid yang bersejarah dalam Islam,” katanya.

Selain itu, beliau berkata Tabung Haji (TH) juga menyiarkan tayangan video berkenaan sejarah Tanah Suci Madinah kepada jemaah haji sebelum mereka melakukan ziarah ke tempat-tempat berkenaan.

“Menerusi tayangan video itu, jemaah haji diharap akan lebih memahami tempat-tempat bersejarah itu sebelum mereka menziarahinya, agar dapat lebih menghayati perjuangan Rasulullah,” katanya.

Jemaah Malaysia hari ini turut menziarahi makam syuhada di Lembah Bukit Uhud, yang menempatkan 70 syuhada yang terkorban dalam Perang Uhud pada Syawal Tahun Ketiga Hijrah termasuk bapa saudara Rasulullah, Saidina Hamzah Abdul Mutalib.

Seorang jemaah haji, Noor Azam Abdul Aziz, 40, berkata beliau bersyukur dapat menziarahi tempat-tempat bersejarah dalam meningkatkan takwanya kepada Allah.

“Alhamdulillah, saya dapat menziarahi di makam syuhada dan Bukit Uhud. Perjuangan besar para syuhada untuk menegakkan syiar Islam. Pengajaran daripada peristiwa Perang Uhud itu juga amat besar ertinya kepada umat Islam,” katanya.

Sementara itu Pembimbing Ibadat Haji TH di Tanah Suci, Ramli Ibrahim berkata sekali pun program ziarah di Madinah tidak termasuk dalam rukun haji, namun tempat-tempat berkenaan dijanjikan ganjaran tertentu apabila menziarahinya.

“Semoga apabila kita melihat sendiri tempat-tempat bersejarah berkenaan, akan dapat menambahkan lagi keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah SWT,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.