Risda, Felda Dan Felcra Diminta Bekerjasama Wujud Konsortium

KUALA LUMPUR – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) diminta bekerjasama dengan Felcra dan Felda bagi mewujudkan sebuah konsortium untuk melaksanakan pelbagai projek hiliran berimpak tinggi pada masa depan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata projek yang dijalankan oleh ketiga-tiga agensi perladangan terbesar itu di negara ini, mempunyai banyak persamaan dan tidak sewajarnya dijalankan secara berasingan.

Beliau berkata kerjasama itu mampu memberi keuntungan kepada agensi-agensi terbabit, selain dapat mengembangkan perniagaan sampingan serta menambah pendapatan pekebun kecil.

“Risda diminta memperbanyakkan projek industri hiliran untuk dilaksanakan secara kerjasama melibatkan Felda dan Felcra, termasuk dalam pengurusan ladang dan kilang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri taklimat Risda dan menyempurnakan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang agensi itu di Ibu Pejabat Risda di sini, hari ini.

Ismail Sabri memberi contoh, ketiga-tiga agensi terbabit boleh merancang untuk membina sebuah kilang pengeluar produk alat ganti kenderaan yang dapat dikongsi oleh peneroka Felda serta peserta Risda dan Felcra.

“Ketiga-tiga agensi ini boleh berkongsi mendirikan sebuah kilang alat ganti kereta berasaskan getah dan dapat mengeluarkan produk seperti alat ganti kereta, tayar dan lain-lain yang boleh difikirkan demi kebaikan bersama,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kementerian sentiasa mencari pendekatan baharu dalam mempelbagaikan program bagi membantu 532,000 pekebun kecil yang melibatkan kawasan seluas 2.5 juta hektar di seluruh negara, terutama ketika penurunan harga getah.

Katanya Risda telah membantu kira-kira 10,000 pekebun kecil mendapat bantuan modal sebanyak RM10,000 bagi setiap orang untuk menjalankan pelbagai aktiviti sampingan seperti keusahawanan selain bantuan input pertanian.

“Kita akan lebih agresif dalam melaksanakan pelbagai program sampingan membantu pekebun kecil terutama ketika musim tengkujuh pada November, Disember dan Januari,” katanya.

Pada majlis itu, Ismail Sabri menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Risda kepada 341 penerima. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.