Gajah Ancam Penduduk Kampung Ditangkap

PASIR PUTEH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan berjaya menangkap seekor gajah betina dewasa yang dipercayai memusnahkan tanaman penduduk di Kampung Jeram Linang di sini, Rabu lepas.

Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohammad Khairi Ahmad berkata gajah itu ditangkap kira-kira 200 meter dari jalan utama kampung itu oleh enam anggota Unit Tangkapan Gajah Perhilitan Kota Baharu dan Kuala Krai pada pukul 4 petang.

“Gajah berkenaan kini ditambat dan diawasi anggota Perhilitan sementara menunggu wakil Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang tiba untuk dipindahkan ke kawasan selamat dan jauh dari penempatan penduduk,” katanya ketika dihubungi di sini, Jumaat.

Mohammad Khairi berkata pihaknya akan terus memantau pergerakan gajah lain yang berada di kawasan hutan berdekatan daripada menghampiri kampung berkenaan.

Sejak sebulan lepas, penduduk di kawasan itu mendakwa sekumpulan kira-kira lapan gajah liar dari kawasan Hutan Simpan Ulu Sat bersempadan antara Pasir Puteh dan Machang, memusnahkan tanaman kontan seperti tebu dan pisang. – MSTAR ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.