Ringgit Cecah 4.1800 Bagi AS$1, Terendah Dalam 17 Tahun

KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup 1.11 peratus lebih rendah, mencecah paras 4.18 berbanding dolar AS hari ini, setelah harga minyak mentah dunia jatuh.

Pada jam 5 petang, mata wang tempatan itu disebut harga pada 4.1800/1880 berbanding dolar Amerika pada 4.1350/1400 semalam.

Paras tertinggi harian ringgit mencecah paras 4.1840 berbanding dolar buat kali pertama kali sejak krisis kewangan Asia, 17 tahun lalu.

Seorang peniaga berkata penanda aras minyak mentah global yang jatuh hari ini – West Texas Intermediate (WTI) dan Brent – mencetuskan penjualan dalam ringgit dan mata wang ekonomi pesat membangun lain yang berkait dengan eksport minyak mentah.

“Minyak mentah WTI menguji paras AS$40 setong hari ini manakala Brent pada AS$46.06 setong selepas ia mencecah paras sokongan utama AS$47,” katanya.

Beliau berkata, kebimbangan terhadap lebihan bekalan minyak mentah dunia dan ketidaktentuan kesan daripada kemungkinan kenaikan kadar faedah Rizab Persekutuan AS boleh menjejaskan lagi ringgit.

“Ringgit mungkin menguji paras 4.20 dalam jangka terdekat kecuali terdapat pemulihan bagi mata wang domestik,” katanya.

Ringgit juga diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama hari ini.

Mata wang tempatan terus turun berbanding dolar Singapura kepada 2.9694/9753 berbanding 2.9414/9452 pada Khamis, dan diniagakan rendah berbanding yen pada 3.3981/4060 daripada 3.3363/3411 semalam.

Ringgit juga rendah berbanding pound sterling kepada 6.5672/5814 daripada 6.4589/4675 semalam dan turun berbanding euro kepada 4.7033/7132 berbanding 4.6039/6111 semalam. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.