Remaja Lemas, Rakan Hilang Ketika Mandi Di Tasik Puchong Prima

KUALA LUMPUR – Seorang remaja lelaki ditemui mati lemas manakala rakannya masih hilang semasa mandi bersama enam lagi rakan mereka di Tasik Puchong Prima, dekat sini, Jumaat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Puchong, Mohd Hisam Mat Yasih berkata dalam kejadian 4.31 petang itu, mayat Muhammad Amirul Irfan Mohd Sabri, 14, ditemui pada 7.22 malam, hampir 10 meter dari tebing.

“Mayat mangsa dijumpai oleh sepasukan skuba di dasar tasik itu manakala Muhammad Amirul Irfan Mohd Rashid, 10, masih belum ditemui,” katanya kepada Bernama, di sini.

Katanya operasi mencari dan menyelamat dua mangsa, yang tinggal di Flat Puchong Permai itu, tidak jauh dari lokasi kejadian, bermula pada 4.40 petang tadi dan dihentikan pukul 9 malam berikutan cuaca gelap.

Operasi mencari dan menyelamat akan bersambung pukul 7 pagi Sabtu.

Mohd Hisham berkata pihaknya menghantar sebuah jentera bersama tujuh anggota ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan daripada orang awam.

Menurut seorang penduduk, Mohd Sazrul Mohd Nordin, 30, dia bersama dua rakan yang sedang memancing di tasik itu menyaksikan seorang dari pelajar tersebut hanyut ke tengah tasik dan seorang lagi kanak-kanak tenggelam kira-kira pukul 3.30 petang.

“Mereka dilihat tiba di tasik kira-kira jam dua petang dengan berbasikal. Bukan hari ini saja malah hampir setiap hari kami melihat mereka mandi manda di sini,” katanya ketika ditemui Bernama di lokasi kejadian.

Sementara itu, Mohd Rashid Derani, 37, bapa kanak-kanak berumur 10 tahun yang masih hilang itu, berkata dia tidak menyangka anaknya terlibat dalam kejadian itu.

“Dia sepatutnya pergi sekolah agama selepas solat Jumaat tadi. Tapi saya tak sangka dia ponteng.

“Amirul merupakan anak sulung dari tiga beradik dan seorang periang dan kerap bergurau dengan adiknya…tiada tanda-tanda pelik pada dirinya kebelakangan ini,” katanya ditemui di lokasi kejadian. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.