Empat Beranak Maut, Kereta Langgar Lori Tangki Di Kota Tinggi

JOHOR BAHARU – Empat anak beranak maut apabila kereta mereka dilapor melanggar sebuah lori tangki air di Kilometer 55.5 Jalan Sungai Renggit-Kota Tinggi dekat sini tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Rahmat Othman berkata mereka terdiri daripada Mohd Najib Mat Idris dan isterinya Mahfuzah Abdul Hamid yang masing-masing berusia 29 tahun, anak perempuan mereka Nabiha, setahun empat bulan dan bayi mereka Mohd Anas yang berusia empat bulan.

Sementara yang cedera ialah adik Mahfuzah, Mahirah yang kini dirawat di Hospital Kota Tinggi.

Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila lori berkenaan yang menghala ke Kota Tinggi hilang kawalan selepas membrek menyebabkan kepalanya termasuk ke laluan bertentangan.

Dalam masa yang sama, kereta yang dipandu Mohd Najib yang datang dari Kota Tinggi menuju Air Tawar 2 tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian tepi kepala lori itu, katanya.

“Akibat kemalangan itu Mohd Najib, isteri serta anak-anak mereka mati di tempat kejadian,” katanya.

Pemandu lori berkenaan dan kelindannya hanya cedera ringan.

Rahmat berkata Mohd Najib yang berasal dari Dungun merupakan seorang guru manakala isterinya suri rumah dari Felda Air Tawar 2, Kota Tinggi. Sementara itu bapa kepada Mahfuzah, Abdul Hamid Rais, 70, berkata beliau berada di Johor Baharu ketika menerima berita mengenai kemalangan itu daripada seorang anaknya.

“Mereka (anak dan keluarganya) tidak memaklumkan yang mereka mahu balik hari ini walaupun menjadi rutin mereka balik setiap minggu untuk menjenguk kami di kampung.

“Tambahan pula, cucu saya (Nabiha) yang berusia setahun itu sangat manja dengan neneknya,” katanya di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi.

Abdul Hamid berkata Mahfuzah merupakan anak kelapan daripada 13 adik beradik.

Mahirah bekerja di cawangan Bank Negara di Johor Baharu, katanya.

Menurutnya, kali terakhir beliau bertemu anak dan cucu-cucunya ialah minggu lepas.

Keempat-empat jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Air Tawar 2 esok. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.