FIM ARRC: Afif Amran Sasar Keputusan Lebih Baik Di Thailand

KUALA LUMPUR – Ahmad Afif Amran akui masih belum dapat menguasai sepenuhnya jentera SuperSports 600cc namun optimis untuk memberikan aksi terbaik menjelang perlumbaan pusingan keempat Kejuaraan Motosikal Asia FIM yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Chang, Buruiram, Thailand pada 28 hingga 30 Ogos ini.

Pelumba PETRONAS Hong Leong Yamaha itu masih mempunyai beberapa kelemahan terutama berkaitan sistem suspensi dan kawalan jentera untuk lebih menyesuaikan diri bersama jentera YZF-R6 yang mencecah kelajuan sehingga 260 kilometer sejam itu.

Malah, kehadiran pelumba-pelumba kelas dunia seperti Yuki Takahashi, Tomoyoshi Koyama, Noriyuki Haga, Mark Aitchison dan ramai lagi di dalam kelas SuperSports 600cc turut menjadikan saingan kini semakin mencabar dan amat sukar bagi pelumba-pelumba baharu seperti dirinya untuk menempatkan diri di kelompok hadapan.

Setakat ini pelumba Malaysia itu hanya memungut dua mata kejuaraan sewaktu menduduki tempat ke-15 di Indonesia dan Jepun untuk meletakkannya di kedudukan ke-27 keseluruhan.

Afif in action during round 3 at Suzuka, Japan
Afif beraksi di pusingan 3, Suzuka, Jepun.

“Saya masih belum dapat memaksimumkan keupayaan dan kelajuan jentera SuperSports 600cc ini terutama ketika membrek dan memasuki selekoh. Saya memerlukan sedikit masa untuk serasi dengan perbezaan kelajuan yang sangat ketara diantara jentera ini dan juga jentera underbone termasuk dari segi suspensi dan juga bagaimana untuk masuk ke selekoh dengan kelajuan yang lebih tinggi,” jelas Afif.

“Secara keseluruhan, jika dibandingkan dari segi catatan masa, saya telah menunjukkan kemajuan dan peningkatan namun ia masih belum cukup untuk dibandingkan dengan kumpulan pelumba di hadapan yang selalunya mencatat satu atau dua saat lebih baik berbanding pelumba-pelumba baru.”

“Sebenarnya dari satu sudut, banyak yang dapat kami pelajari dari pelumba-pelumba yang pantas ini namun jika kami tidak mampu mendekatkan jurang perbezaan ini, kami akan ketinggalan. Bukan mudah untuk melakukan apa yang dilakukan oleh pelumba-pelumba di hadapan, kami memerlukan lebih pengalaman dan masa,” katanya.

“Dengan erti kata lain, saya perlu bekerja lebih keras dan perlu meluangkan lebih banyak masa dengan jentera supaya saya dapat memahami karakter jentera SuperSports ini dengan sepenuhnya. Malah saya juga perlu mengubah gaya, kedudukan badan, brek dan juga mengawal kelajuan dengan betul.”

“Jika saya dapat memperbaiki kelemahan-kelemahan ini, saya rasa tidak mustahil mampu merapatkan jurang masa dan memperoleh kedudukan lebih baik. Saya harap saingan di Thailand minggu ini mampu memperoleh sesuatu yang lebih positif,” tambahnya lagi.

Selepas tiga pusingan, pelumba T. Pro Yuzy Honda NTS, Tomoyoshi Koyama mendahului kedudukan dengan 81 mata diikuti Yuki Takahashi (Musashi Boon Siew Honda) dan Yuki Ito (PETRONAS Hong Leong Yamaha) di kedudukan kedua dan ketiga, masing-masing dengan 77 mata dan 67 mata.

Afif in action at Suzuka
Afif beraksi di Suzuka, Jepun.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.