Jumpa Mayat Bayi Dalam Plastik Sampah

MUADZAM SHAH – Penduduk di sekitar Bandar Muadzam Shah, di sini gempar selepas penemuan mayat bayi yang dibungkus dalam plastik hitam dalam tandas wanita masjid berkenaan yang ditemui sekitar jam 2.40 petang, semalam.

Setiausaha Masjid Muadzam Shah, Alwi Husin berkata, pada waktu Zohor beliau menunaikan solat berjemaah di masjid berkenaan namun pada ketika masih tiada laporan berkaitan dengan penemuan mayat bayi itu.

“Sebelum jam 3 petang selepas saya balik ke rumah, seorang kakitangan masjid telefon maklum pada saya bahawa seorang wanita telah menemui mayat bayi itu dalam tandas wanita yang dibungkus dengan plastik sampah warna hitam.

“Saya kemudiannya minta supaya wanita berkenaan membuat laporan polis kerana beliau yang menjumpainya. Tidak lama selepas laporan dibuat, polis tiba untuk melakukan siasatan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, wanita yang menjumpai mayat bayi itu, dia pada mulanya membiarkan sahaja bungkusan plastik hitam yang diletak di tepi mangkuk tandas tetapi berasa curiga lalu mengambilnya dan membawa keluar untuk melihat isi kandungannya.

Dalam pada itu, Alwi turut menegaskan bahawa pihak masjid memandang serius mengenai kejadian tersebut dan akan cuba membantu siasatan dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan akan menyerahkannya kepada pihak polis.

“Pihak masjid telah melihat rakaman bermula jam 12 tengahari semalam namun tidak kelihatan individu yang mencurigakan membawa bungkusan hitam masuk ke tandas. Buat masa ini kami masih dalam proses meneliti rakaman dalam tempoh 48 jam sebelum kejadian,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Rompin, Asisten Superintendan Zainul Mujahidin Mat Yudin yang dihubungi mengesahkan kejadian dan mayat bayi itu telah dibawa ke Hsopital Kuantan untuk proses bedah siasat. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.