KFSB Sasar Untung Bersih RM1 Juta

BERA – Koperasi Felda Sebertak Berhad (KFSB) menyasarkan keuntungan bersih berjumlah RM1juta menjelang tahun 2020, dan mahu terus mengekalkan kedudukan di antara 100 koperasi terbaik di seluruh negara.

Pengerusinya, Ismail Mohamad berkata, kepelbagaian cabang perniagaan yang dijalankan seperti stesen minyak, pembinaan dan peruncitan serta bidang hartanah membolehkan KFSB menjana modal dan pendapatan mereka bagi membolehkan pemberian dividen sebanyak 15 peratus diberikan kepada ahli.

Menurutnya, sejak KFSB ditubuhkan pada tahun 1979, pelbagai kemudahan dan kebajikan turut disediakan kepada ahli yang kini telah mencecah kepada 652 orang.

“Kita berbangga kerana KFSB disenaraikan antara 100 koperasi terbaik di seluruh negara, dan kini menduduki tangga ke 31.

“Lebih membanggakan apabila KFSB telah dipilih untuk menerima Anugerah Koperasi Cemerlang Pemborongan dan Peruncitan pada Hari Koperasi Negara 2015, di Kuching, Sarawak, baru-baru ini,” katanya.

Kemenangan itu membolehkan KFSB menerima sebuah piala, wang bernilai RM20,000 dan sijil penghargaan.

Ismail berkata, mereka tidak menjangka menerima anugerah itu tetapi yakin pemilihan itu adalah berdasarkan kepada jumlah perolehan sepanjang tahun lepas yang bernilai RM21juta, dan dua stesen minyak merupakan penyumbang utama.

“Tidak mahu terus bergantung kepada pendapatan dari stesen minyak, kita menceburi dan melabur dalam pelbagai bidang supaya peniagaan KFSB dapat diperluaskan.

“Kejayaan yang dikecap KFSB pula adalah dari budaya kerja yang diamalkan semua Ahli Lembaga dan ahli koperasi yang mungkin tiada pada koperasi yang lain.

“Kami mengamalkan sikap telus dan amanah semasa menjalankan tanggungjawab dan bertindak bersama-sama untuk menjayakan sesuatu rancangan,” kata beliau.

Beliau memberitahu, tidak dinafikan wujud kelompok yang tidak sehaluan tetapi itu hanya kelompok kecil, dan ia merupakan perkara biasa dalam mana-mana organisasi dan ia masih terkawal. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.