Op Warta Akan Diaktifkan Semula Mulai Khamis Ini

KUALA LUMPUR – Operasi Waran Tangkap atau Op Warta akan diaktifkan semula mulai Khamis ini, bagi mengesan dan menahan individu yang masih belum melunaskan saman dan waran tangkap yang berbaki 1.35 juta.

Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman Datuk Mohd Fuad Abd Latiff berkata sejumlah 240,000 daripada 1.59 juta waran tangkap yang dikeluarkan kepada pesalah trafik telah disempurnakan setelah Op Warta dilancarkan pada Mei lepas.

“Saya menasihatkan kepada orang ramai supaya menyemak status saman mereka di balai-balai polis trafik dan bertindak membayar serta menyelesaikan saman-saman itu,” katanya dalam kenyataan di sini Isnin.

Op Warta dimulakan pada 19 Mei lepas, dan dihentikan seketika bagi memberi laluan kepada Op Selamat 7/2015 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Dalam pada itu, Mohd Fuad mengingatkan pesalah trafik yang mempunyai banyak saman atau waran tangkap agar tidak mendiamkan diri tetapi tampil berjumpa pihaknya atau ketua-ketua trafik negeri bagi melihat kedudukan saman-saman itu.

Beliau menyeru orang ramai agar mengambil peluang dalam masa beberapa hari ini, bagi menyelesaikan saman trafik mereka, sebelum pihaknya menjalankan sekatan jalan raya dan pergi ke premis-premis bagi tujuan mengesan serta menangkap pesalah trafik. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.