Untung Sebelum Cukai FGV Pada Separuh Pertama Jatuh Kepada RM263.14 Juta

KUALA LUMPUR – Keuntungan sebelum cukai Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) pada separuh pertama berakhir 30 Jun 2015 merosot kepada RM263.14 juta berbanding RM620.97 juta pada tempoh yang sama tahun lepas.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia pada Isnin, FGV berkata, ini berikutan pendapatan lebih rendah, terutama daripada segmen berkaitan sawit.

Pendapatan susut kepada RM6.9 bilion berbanding RM7.4 bilion sebelum ini, katanya.

Untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2015, keuntungan sebelum cukainya jatuh kepada RM190.27 juta berbanding RM323.25 juta pada suku yang sama tahun lalu.

Pendapatan bagaimanapun meningkat kepada RM4.2 bilion berbanding RM3.9 bilion sebelum ini.

FGV berkata, industri minyak sawit kekal mencabar dan kemelesetan ekonomi China memberi kesan ke atas pasaran minyak dan komoditi dunia.

“Pasaran minyak sawit mentah Malaysia mengalami eksport yang lebih lemah disebabkan kemerosotan permintaan daripada negara seperti China, India dan Kesatuan Eropah,” katanya.

Menurutnya, walaupun terdapat sedikit kenaikan dalam permintaan berikutan musim perayaan, permintaan kekal lemah dan turun naik minat dan kadar pertukaran asing menyebabkan keadaan operasi yang lebih sukar untuk kumpulan itu. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.