Zaqhwan Dan Khairul Idham Bersama Boon Siew Honda Sehingga 2019

KUALA LUMPUR – Juara SuperSports 600cc dan CP130, Mohd Zaqhwan Zaidi dan juara Asia Dream Cup, Khairul Idham Pawi telah menandatangani kontrak baharu bersama Boon Siew Honda Sdn Bhd yang menyaksikan kedua-duanya akan meneruskan karier perlumbaan mereka di peringkat tempatan dan antarabangsa bersama jenama pengeluar motosikal dari Jepun itu sehingga tahun 2019.

“Kami berbesar hati mengumumkan Zaqhwan dan Khairul Idham telah bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Honda untuk tempoh beberapa tahun akan datang. Kami percaya perjanjian baharu ini sangat penting bagi kedua-dua pihak,” jelas pengurus Musashi Boon Siew Honda Racing, Zulhelmi Ahmad.

“Zaqhwan merupakan antara pelumba terbaik Malaysia ketika ini. Dia telah bergelar juara Asia dan juga juara Cub Prix pada musim lepas. Kami agak kesal dan simpati dengan kesukaran yang dialami dalam kempen Moto2 beliau sebelum ini namun percaya dia masih memiliki potensi terbaik untuk pergi lebih jauh.”

“Dengan pelan jangka masa panjang dan karier masa depannya yang lebih terjamin ketika ini, kami mahu dia memberi sepenuh tumpuan untuk memberikan aksi terbaik bermula separuh musim kedua saingan tahun ini,” tambah Zulhelmi.

“Pelumba muda berusia 17 tahun itu mempamerkan aksi yang jauh lebih baik dari apa yang kami jangka atau harapkan dan kini telah menarik perhatian ramai,” kata Zulhelmi mengulas tentang Khairul Idham.

“Meskipun mendapat pelbagai pujian dan diintai banyak pihak, kami percaya dia perlu mempunyai asas yang kukuh sebelum melangkah ke kejuaraan dunia. Kami tidak mahu dia terabai jika gagal untuk mencipta nama di peringkat yang lebih tinggi sepertimana pelumba-pelumba Malaysia yang gagal mendapat tempat di luar sana,” tambahnya.

Zaqhwan Zaidi third from left, Khairul Idham Pawi third from right and Zulhelmi Ahmad second from right
Zaqhwan Zaidi (tiga dari kiri), Khairul Idham Pawi (tiga dari kanan) dan Zulhelmi Ahmad (dua dari kanan)

Kontrak baharu yang dipersetujui ini menyaksikan Zaqhwan akan kembali ke saingan Kejuaraan Motosikal Asia FIM bersama pasukan Musashi Boon Siew Honda Racing dan menggantikan tempat Mohd Zamri Baba yang kini masih menjalani rawatan.

Zaqhwan akan bergandingan bersama pelumba Jepun, Yuki Takahashi dalam kategori SuperSports 600cc bermula pusingan keempat di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, minggu depan.

Pelumba berusia 21 tahun itu turut beraksi dalam Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS bersama pasukan Givi Honda Yuzy Racing di dalam kategori CP130.

Sementara itu, Khairul Idham akan meneruskan program pembangunan bersama Honda Team Asia, laluan serupa yang telah menghasilkan pelumba Moto2 Grand Prix Dunia negara, Azlan Shah Kamaruzaman dan pelumba Moto3 yang juga juara Asia Dream Cup 2013 dari Jepun, Hiroki Ono.

Pelumba kelahiran Perak yang telah memenangi pelbagai gelaran termasuk perlumbaan kategori Wira dan Asia Dream Cup 2014 itu mempamerkan aksi mengkagumkan dengan meraih tiga podium dalam saingan Kejuaraan Moto3 Junior Dunia (FIM CEV) dan kini berada di tangga ketiga keseluruhan.

Zaqhwan Zaidi
Zaqhwan Zaidi

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.