ARRC: Cabaran Besar Menanti Izzat Di Thailand

KUALA LUMPUR – Mohd Izzat Zaidi Salehan menegaskan pasukan RCB Yamaha YY Pang Racing Team perlu menggandakan usaha jika mahu menyaingi pasukan-pasukan berstatus ‘factory’ di dalam saingan Asia Production 250cc pada Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia FIM di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand pada minggu ini.

“Pertama kali beraksi dalam kelas baharu ini, memang tidak dinafikan tugas kami agak sukar namun saya tidak menyangka agak ketinggalan berbanding pelumba lain. Kami perlu melipat-gandakan usaha kami jika ingin bersaing dengan pelumba-pelumba di kelompok depan,” jelas Izzat.

Diketuai oleh pengurus, Pang Yoke You (YY Pang) yang cukup dikenali dalam kelas underbone, mereka mengambil langkah menyertai kelas Asia Production 250cc yang baharu diperkenalkan pada tahun ini namun gagal memperoleh keputusan membanggakan setelah Izzat hanya mampu meraih satu mata sepanjang tiga pusingan lepas dan berada di tangga ke-19 keseluruhan ketika ini.

Juara CP115 itu bagaimanapun tetap yakin pasukan mereka mampu mempamerkan peningkatan dan memberikan cabaran dalam baki perlumbaan selepas ini.

Izzat Zaidi Salehan
Izzat Zaidi Salehan

“Cabaran besar menanti kami ketika ini. Pasukan-pasukan utama lain mempunyai banyak kelebihan namun saya percaya kami mampu merapatkan jurang. Apa yang perlu saya lakukan selepas ini adalah untuk terus bekerja keras dan paling penting untuk mendapatkan petak mula yang lebih baik pada sesi kelayakan. Setakat ini saya masih gagal memperoleh kedudukan baik pada sesi kelayakan,” jelas Izzat.

“Selain itu, kami juga perlu melakukan lebih banyak latihan untuk lebih faham tentang jentera. Jentera ini masih asing kepada kami selain masih baharu dalam pasaran. Jika diukur dari segi prestasi, ia mempunyai kelebihan berbanding pesaingnya seperti Kawasaki dan Honda namun kami masih belum dapat menemui pelarasan terbaik yang saya fikir hanya mampu dicapai seandainya kami melakukan lebih banyak latihan.”

“Saya menantikan perlumbaan minggu ini, begitu juga pasukan. Kami semua kecewa dengan keputusan perlumbaan lepas memandangkan kami yakin mampu untuk melakukan sesuatu yang lebih baik. Semuanya telah bekerja keras dan saya hargai sokongan dan usaha semua,” katanya bercakap tentang sasaran perlumbaan di Thailand.

Selepas tiga pusingan, Apiwat Wongthananin dari AP Honda Racing Thailand mendahului kedudukan kelas AP250 dengan 106 mata, dua mata di depan pelumba Trickstar Racing, Takehiro Yamamoto diikuti rakan sepasukan Apiwat, Nakarin Athiratphuvapat ketiga, 69 mata.

Izzat Zaidi in Suzuka
Izzat Zaidi beraksi di Suzuka

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.