Majlis Belia Felda Dicadang Tubuh Koperasi Mudahkan Penyaluran Dana Perniagaan

GUA MUSANG – Majlis Belia Felda (MBF) di setiap wilayah Felda di seluruh negara disyorkan supaya menubuhkan koperasi sendiri bagi memudahkan penyaluran dana untuk aktiviti perniagaan.

Pengarah Jabatan Inovasi dan Pembangunan Generasi Baharu Felda Nik Nasrul Mohd Zainudin berkata langkah itu sekali gus boleh mengembangkan bidang perniagaan yang diceburi belia di Felda.

“Walaupun pihak pengurusan tertinggi Felda ada menyalurkan peruntukan untuk MBF bagi menjalankan pelbagai aktivitinya, tetapi ia tidak sebesar saluran dana untuk pembangunan koperasi.

“Generasi baharu menerusi persatuan di bawah MBF hendaklah menanamkan semangat untuk hidup berdikari kerana ia adalah laluan terbaik untuk mengejar keuntungan,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Sehati Sejiwa dan Mesyuarat Agung Tahunan MBF Wilayah Gua Musang di Dewan Sivik di sini, Isnin malam.

Hadir sama Pengurus Besar Felda Wilayah Gua Musang Che Noh Che Pa, Pengerusi Majlis Belia Kelantan Mohd Syahbudin Hashim dan Pengerusi MBF Wilayah Gua Musang Mohd Norfadzly Mohd Daud.

Nik Nasrul berkata jika setiap persatuan di bawah naungan MBF mempunyai koperasi sendiri, pihaknya yakin golongan generasi baharu Felda tidak lagi perlu bergantung kepada sumbangan daripada pengurusan Felda.

Selain itu, katanya ia merupakan satu cara terbaik bagi meningkatkan ekonomi persatuan terbabit sekali gus dapat membuka minda mereka bagaimana mahu menjana pendapatan untuk diri sendiri.

“Kita mahu belia atau generasi baharu Felda keluar daripada berfikiran sempit dan melangkah ke dunia luar supaya kehidupan mereka turut berubah dengan lebih cemerlang,” katanya.

“Kita juga amat kagum dengan MBF Wilayah Gua Musang yang paling aktif di negara ini dan kita mengharapkan juga ada pembaharuan persatuan itu dalam masa akan datang,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.