Sajian Malaysia Untuk Jemaah Haji Di Tanah Suci

MAKKAH – Ayam masak merah, asam pedas, rendang, daging masak kurma, daging kicap berempah, sambal sotong, ikan masak sambal dan tomyam daging, antara juadah yang disediakan untuk jemaah haji Malaysia di Tanah Suci Makkah sepanjang mereka menunaikan rukun Islam kelima itu.

Masakan menggunakan rempah ratus dari Malaysia itu disediakan sebanyak dua kali setiap hari iaitu untuk makan tengahari dan malam oleh ketua tukang masak dari tanah air.


Antara chef dari Malaysia yang menyediakan hidangan makanan untuk jemaah haji

Pengarah Operasi Pengurusan Katering Tabung Haji (TH), Hairolnisam Isnin berkata proses penyediaan makanan untuk jemaah haji itu melalui proses yang mengikuti standard antarabangsa.

“Bahan-bahan mentah dibeli 12 jam lebih awal sebelum kerja-kerja memasak bermula.

Untuk makanan tengah hari misalnya, operasi memasak bermula jam 4 pagi, diikuti proses pembungkusan pukul 8 pagi, pukul 10 mula diedarkan ke maktab, dan disimpan di dalam mesin pemanas bagi mengawal suhu makanan sekitar 65 darjah Celsius sebelum diedarkan kepada jemaah jam 11 pagi,” katanya kepada para pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata bagi makanan untuk malam, pek makanan mula diedarkan mulai pukul 6 petang kepada jemaah haji.

Hairolnisam berkata, proses penyediaan makanan itu juga mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi.

“Pihak Tabung Haji juga menyediakan hidangan khusus bagi mereka yang memerlukan makanan khusus atas nasihat doktor,” katanya.

Jemaah dinasihati agar makan makanan yang disediakan dalam tempoh dua jam selepas diedarkan kerana cuaca panas di Tanah Suci ini boleh menjejaskan kualitinya,” katanya.

Menurut Hairolnisam, terdapat lima pusat penyediaan makanan dengan setiap pusat mampu menghasilkan 4,000 pek makanan pada satu-satu masa.

Katanya, setiap pusat penyediaan makanan itu diketuai seorang ketua tukang masak dari Malaysia dan dibantu 20 hingga 30 petugas sokongan bagi penyediaan makanan berkenaan. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.