Gelas Kaca Tertera ‘Malaya Merdeka-August 1957’ Barangan Antik Kesayangan

PENGKALAN HULU – Gelas kaca yang tertera tulisan ‘Malaya Merdeka-August 1957’ merupakan barangan antik kesayangan seorang pengumpul barangan antik.

Siti Aminah Jais, 63, berkata gelas pemberian seorang rakannya pada satu majlis itu antara 20 perkakas antik yang dipamer di satu sudut barangan antik di ruang tamu kediamannya di Felda Nenering di sini.

Suri rumah itu berkata antara barangan lain yang terdapat di sudut itu ialah lampu gasolin, seterika arang, batu giling, cucuk sanggul yang digunakan tahun 70-an serta piring kecil tahun 1956.

“Semua barang lama ini diperoleh hasil simpanan nenek moyang terdahulu dan sebahagiannya adalah hadiah daripada rakan dan dipamerkan bagi menyemarakkan semangat menyambut Hari Kebangsaan,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya di sini baru-baru ini.

Selain mengumpul barangan antik, Siti Aminah dan suami Md Saad Jam, 67, mengambil pendekatan menghiasi keseluruhan kediaman mereka dengan Jalur Gemilang apabila rumah mereka terpilih untuk menyertai Pertandingan Keceriaan Merdeka 2015 bagi kategori individu (kediaman).

Ketika melangkah masuk ke kediaman ini, tidak ubah seperti sebuah Muzium Jalur Gemilang dengan hiasan lebih 1,000 bendera pelbagai saiz dan bentuk serta beberapa sudut pameran kenegaraan.

Bermula dengan gantungan bendera kecil di luar rumah, ruang dalam kediaman ini juga diwarnai dengan keceriaan merah, biru, putih dan kuning apabila langsir, sarung kusyen serta lapik kerusi dan meja menggunakan Jalur Gemilang.

Paling mencuri tumpuan adalah set pelamin yang diwujudkan di ruang tengah laluan ke dapur rumah ini berlatar belakangkan Jalur Gemilang.

Siti Aminah yang memimpin tangan suaminya kelihatan ceria ketika diminta bergambar di pelamin itu sambil berseloroh ‘baru la sehati sejiwa’.

Siti Aminah berkata setiap ruang dalam rumah itu diekspresikan bagi menonjolkan kelainan dan menzahirkan semangat kemerdekaan mereka.

Katanya, jika tahun sebelum ini, hiasan kemerdekaan hanya dilakukan di bahagian luar, kali ini dengan bantuan 11 anaknya serta jiran, mereka berkongsi idea untuk menambah lebih banyak ruang dan hiasan.

“Persediaan dah buat sejak awal Ogos, selepas itu idea datang mencurah-curah, sebab itu tak pasal-pasal satu rumah dibanjiri bendera.

Makcik tak anggap ini pembaziran sebab setiap kali lihat hasil kerja, makcik berasa puas hati kerana dapat kibarkan Jalur Gemilang dengan pelbagai cara. Setiap kali melangkah masuk rumah ini, kami sekeluarga dapat rasakan semangat kenegaraan yang kuat,” katanya yang menghabiskan hampir RM2,000 untuk persiapan itu.

Selain menggantung bendera, keluarga ini juga mencipta Jalur Gemilang dengan menggunakan buluh manakala bunga kebangsaan gergasi menggunakan kain.

Dalam ruang kediamannya juga terdapat sudut patriotik yang menampilkan sejarah Perdana Menteri Malaysia, sudut kejayaan individu yang mencipta nama di persada antarabangsa dan ruangan pantun hasil nukilan anggota keluarganya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.