Jalan Di Seremban Ditutup Sempena Raptai Dan Perbarisan Hari Kebangsaan

SEREMBAN – Beberapa jalan di bandar Seremban akan ditutup sempena sambutan Hari Kebangsaan 2015 pada sebelah malam, 30 Ogos dan upacara perbarisan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan 2015 pada 31 Ogos.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mat Ali Hassan berkata jalan yang akan ditutup mulai 8.30 malam hingga 12.30 malam Ahad ini melibatkan Jalan Yam Tuan, persimpangan lampu isyarat Jalan Tunku Hasan dan Jalan Datuk Sheikh Ahmad.

Katanya jalan yang sama akan ditutup malam esok mulai 8.30 malam hingga 12.30 malam, bagi raptai penuh sambutan malam Hari Kebangsaan 2015.

“Pada Isnin ini, jalan yang ditutup untuk upacara perbarisan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan 2015 mulai 6 pagi hingga 1 tengah hari ialah Jalan Yam Tuan, persimpangan lampu isyarat Jalan Tunku Hasan, Jalan Datuk Sheikh Ahmad, Jalan Datuk Hamzah, Jalan Kuil dan Jalan Stesen,” katanya di sini, hari ini.

Katanya untuk raptai penuh kontinjen perbarisan Hari Kebangsaan 2015 esok, jalan yang sama akan ditutup mulai pukul 6 pagi hingga 1 tengah hari.

Mat Ali yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan berkata jalan yang ditutup hari ini mulai pukul 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari untuk taklimat ketua kontinjen dan raptai kawalan kehormatan utama melibatkan Jalan Yam Tuan, persimpangan lampu isyarat Jalan Tunku Hasan, Jalan Datuk Sheikh Ahmad dan Jalan Datuk Hamzah. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.