ARRC: Zaqhwan Teruja Beraksi Di Buriram Bersama Honda

BURIRAM – Zaqhwan Zaidi tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila dapat kembali beraksi dalam perlumbaan SuperSports 600cc bersama Honda bermula pada pusingan keempat Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand.

Juara SuperSports 600cc 2014 itu kembali ke pangkuan pasukan Musashi Boon Siew Honda Racing apabila menandatangani kontrak sehingga musim 2019 baru-baru ini setelah menarik diri dari perlumbaan Moto2 Kejuaraan Grand Prix Dunia selepas beraksi sebanyak enam pusingan.

Zaqhwan akan menggantikan tempat pelumba Malaysia yang kini masih menjalani rawatan, Mohd Zamri Baba dan akan bergandingan bersama pelumba Jepun, Yuki Takahashi.

Selepas kembali ke pasukan lama yang telah membantunya memenangi gelaran SuperSports 600cc 2014, Zaqhwan tidak sabar untuk memulakan saingan meskipun mempunyai tempoh persiapan yang singkat bagi menghadapi perlumbaan minggu ini.

Pelumba berusia 21 tahun ini mempunyai rekod baik di litar sepanjang 4.5 kilometer ini dengan menduduki tempat kedua dan ketiga dalam persaingan sengit bersama Yuki Ito (PETRONAS Hong Leong Yamaha) dan Tomoyoshi Koyama (T.Pro Yuzy Honda NTS) sewaktu Buriram buat pertama kali berada dalam kalendar ARRC pada musim lepas.

Zaqhwan Zaidi

“Honda ibarat satu keluarga dan saya gembira kerana dapat kembali ke pangkuan mereka. Pasukan ini merupakan antara pasukan terkuat di padok kerana telah memenangi gelaran terbaik SuperSports 600cc selama tiga tahun berturut-turut. Kami berkongsi banyak kejayaan bersama dan saya percaya banyak lagi kejayaan yang menanti pada masa depan,” jelas Zaqhwan.

“Saya gembira dapat kembali ke Buriram. Meskipun tidak mempunyai banyak masa untuk melakukan persiapan namun ia bukan satu masalah kerana saya boleh menggunakan sesi latihan untuk menyesuaikan diri dengan jentera Honda CBR600RR. Tambahan pula, saya mempunyai keserasian bersama jurutera sejak dari dahulu dan ini akan memudahkan kami untuk bekerjasama,” katanya.

“Cuma apa yang sedikit membimbangkan saya adalah keupayaan pelumba-pelumba lain. Persaingan kini bertambah sengit dan catatan pelumba juga semakin pantas. Meskipun bakal berdepan cabaran besar, saya tidak mudah mengalah dan sebenarnya tidak sabar untuk memulakan aksi, tambahan pula saya sukakan litar ini dan mempunyai kenangan manis di sini.”

“Litarnya cantik, malah suasana dan kehadiran penonton juga begitu menakjubkan. Saya memperoleh keputusan baik pada musim lepas dan berharap dapat mengulanginya bagi membalas kepercayaan pihak Honda kepada saya,” jelas Zaqhwan.

Setakat tiga pusingan lepas, Koyama menerajui kedudukan pelumba SuperSports 600cc dengan 81 mata mengatasi dua rakan senegara, Yuki Takahashi (Musashi Boon Siew Honda Racing) dan Yuki Ito (PETRONAS Hong Leong Yamaha) yang mengumpul 77 mata dan 67 mata.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.