Bajet 2015: FELDA Peruntuk RM999.4 Juta Untuk Warga FELDA

KUALA LUMPUR – Lembaga Tanah Kemajuan Persekutuan (FELDA) telah memperuntukan RM999.4 juta kepada semua warga FELDA untuk tahun 2015 sebagai tanda prihatin kepada warga ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, peruntukan wang sebanyak itu adalah untuk proses pembangunan semua tanah rancangan FELDA termasuklah semua aspek yang berkaitan dalam kehidupan penduduk FELDA.

Dalam majlis sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan 2015 yang diadakan di Stadium Gong Badak, Kuala Terengganu, hari ini, Najib memberitahu peruntukan wang tersebut dipecahkan kepada lapan aspek.

“FELDA sentiasa komited dalam pembangunan warga peneroka. Bajet 2015 FELDA telah memperuntukan  bajet yang besar sebagai tanda prihatin dengan pembangunan ini.

“Ia termasuklah Pengajian Tinggi dan Pembangunan Generasi Baharu sebanyak RM51.5 juta, Pendidikan Menengah Rendah RM20.9 juta, Bonus Insentif Produktiviti Peneroka sebanyak RM55 juta, Pelan Perlindungan Peneroka dan Feldajaya RM22 juta, Pembiayaan Sara Hidup sebanyak RM379 juta, Pendahuluan Hasil sebanyak RM411 juta, Skim Pembesaran Rumah Peneroka RM15 Juta, dan, Skim Latihan Generasi Baharu sebanyak RM15 juta,” kata Najib.

Turut hadir dalam majlis sambutan ini adalah Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato’ Razali Ibrahim, Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Abd. Samad, Pengarah Besar FELDA, Dato’ Hanapi Suhada.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.