FELDA Sening Juara AKKF, Bawa Pulang RM1 Juta

KUALA NERUS – Tanah Rancangan Felda Sening dari Wilayah Kota Tinggi, Johor hari ini dinobatkan sebagai juara Anugerah Keceriaan Kampung Felda (AKKF) 2015 sempena sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Gong Badak di sini.

Tanah rancangan itu berjaya mengalahkan sembilan lagi Felda dari seluruh negara dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1 juta, sijil dan piala pusingan.

Ketua Peneroka Felda Sening, Juraimi Jawahir, 66, berkata wang kemenangan itu akan diagihkan sebanyak RM1,000 kepada kesemua 505 keluarga peneroka di tanah rancangan itu.

“Baki hampir RM500,000 pula akan diperuntukkan untuk pelbagai projek pembangunan di Felda Sening,” kata Juraimi.

Felda Sening yang ditubuhkan pada tahun 1981 itu turut terkenal dengan perusahaan makanan tradisional seperti kerepek dan perusahaan songket oleh penduduk di tanah rancangan itu.

Selain Felda Sening, sembilan lagi Felda yang tersenarai sebagai finalis ialah Felda Lok Heng Selatan, Felda Ulu Penggeli, Felda Sahabat 4/5, Felda Sahabat 2, Felda Kemahang 2, Felda Trolak, Felda Rimba Mas, Felda Lui Selatan dan Felda Keratong 1. – BERNAMA

 

 

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.