Jemaah Haji Malaysia Turut Semarakkan Sambutan Hari Kebangsaan Di Tanah Suci

MAKKAH – Jemaah haji Malaysia di Tanah Suci Makkah turut menyemarakkan rasa kecintaan kepada negara bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2015 yang akan disambut esok, dengan mengibarkan Jalur Gemilang di maktab-maktab kediaman mereka.

Selain itu, program dan majlis doa selamat dan solat hajat turut diadakan bagi memohon kesejahteraan dan keamanan negara.

Pengurus Besar Kanan Tabung Haji (TH) Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata pihaknya mengedarkan Jalur Gemilang kepada jemaah haji di maktab-maktab penginapan mereka di Makkah, selain memasang bendera Malaysia di pejabat-pejabat operasinya.

“Alhamdulillah, pada tahun ini jemaah haji Malaysia menyambut Hari Kebangsaan di Tanah Suci, sudah tentu amat bertepatan untuk kita jemaah haji mengambil kesempatan berdoa agar negara terus aman dan maju,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Maktab 91, bangunan Rehab Janadriyah, di sini.

Seorang jemaah haji yang menetap di Maktab 91, Nor Hayat Udin Othman, 48, yang pertama kali ke Tanah Suci berkata majlis doa selamat dan solat hajat yang diadakan di Tanah Suci itu amat bererti untuk jemaah haji berdoa demi kesejahteraan Malaysia.

“Berada di Tanah Suci ini adalah kesempatan terbaik untuk berdoa kepada Allah agar negara kita terus dilindungiNya, kekal aman dan mampu menghadapi pelbagai cabaran mendatang,” katanya.

Seorang petugas TH yang menetap di Maktab 86 di bangunan Abraj Al-Janadriah, Jasme Saidin, 40, berkata majlis doa selamat di maktab itu serta pemasangan bendera di pejabat-pejabat operasi TH di Ibu Pejabat TH di bangunan berkenaan, nyata menyemarakkan lagi semangat kecintaan mereka kepada negara dalam memberikan khidmat terbaik untuk operasi haji 1436H ini. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.