Sepakat & Sabar Tunggu Selama 4 Tahun Berbaloi Buat FELDA Sening

KUALA TERENGGANU – Nilai kesepakatan yang diamalkan sesama penduduk warga FELDA Sening di Wilayah Kota Tinggi, Johor Baharu dalam membangunkan bersama tanah racangan FELDA itu membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai juara Anugerah Keceriaan Kampung Felda (AKKF) 2015.

Selain itu, Ketua Peneroka FELDA Sening, Juraimi Jawahir, 66, berkata kesabaran semua penduduk FELDA Sening seramai 505 orang menunggu selama empat tahun untuk merangkul anugerah AKKF berbaloi kerana usaha yang selama ini ditabur memberikan pulangan yang besar buat mereka kali ini.

FELDA Sening hari ini dinobatkan sebagai juara AKKF 2015 dengan membawa pulang hadiah RM1 juta, trofi dan sijil penyertaan dalam majlis sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan 2015 di Kuala Terengganu.

“Alhamdulillah. Saya rasa bersyukur kerana sudah empat tahun kami menunggu. Ini menunjukkan kesabaran kami terbalas dan kesepakatan kami di FELDA Sening menjalankan aktiviti dan membangunkan FELDA Sening tidak sia-sia,” kata Juraimi kepada FeldaVoice usai Sambutan Hari Peneroka Kebangsaan 2015.

Tambah Juraimi, FELDA Sening sering menjalankan aktiviti-aktiviti yang berfaedah untuk merapatkan hubungan sesama warga FELDA.

“Kami sentiasa bekerjasama antara penduduk seperti gotong-royong, menyediakan sambutan-sambutan tertentu dan pelbagai lagi.

“Mungkin kerjasama antara kami ini juga dinilai untuk meraih anugerah juara AKKF untuk tahun ini,” katanya.

Juraimi memberitahu, FELDA Sening gigih membangunkan dan memperindahkan tanah rancangan itu sebelum tarikh penilaian dimulakan hinggalah ke hari terakhir penilaian dilakukan.

Setiap rumah sebanyak 22 blok dicat dengan warna yang sama iaitu warna kelabu, dipanggil warna korporat dan diletakkan papan tanda elektrik bernama agar memberikan kemudahan kepada orang luar mencari penghuni rumah sekiranya memasuki FELDA Sening.

FELDA Sening telah ditubuhkan pada tahun 1981 dan telah menjalankan proses tanam semula kelapa sawit untuk kali kedua sejak 70 tahun yang lalu di kesemua 42 tanah rancangan dalam Wilayah Kota Tinggi.

Selain itu, Juraimi memberitahu FELDA Sening dalam proses untuk menambah projek ‘homestay’ sebanyak 16 buah lagi yang bertaraf lima bintang.

Ini kerana, FELDA Sening mahu dikenali sebagai salah satu pusat pelancongan buat pelancong-pelancong dari luar negara.

“Kami berhasrat mahu menaikkan imej Felda ini sebagai lokasi pelancongan dengan konsep inap desa di Johor memandangkan lokasi kami yang berdekatan dengan pusat peranginan Desaru,” katanya.

Selain merangkul juara AKKF 2015, FELDA Sening juga memenangi Anugerah Juri Khas Rumah Peneroka yang membawa pulang RM20,000 juga anugerah Kualiti Komuniti yang turut membawa pulang RM20,000, trofi dan sijil penyertaan.

Anugera Kualiti Komuniti adalah anugerah yang dimenangi oleh FELDA Sening selama empat tahun berturut-turut.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.