Empat Cedera Akibat Mercun, Seorang Lelaki Ditahan

KUALA LUMPUR: Kekecohan tercetus berdekatan Dataran Merdeka apabila seorang lelaki melemparkan mercun ke arah peserta Bersih 4 mengakibatkan empat tercedera.

Seorang saksi berkata, lelaki berkenaan yang memakai kemeja T hitam itu melemparkan mercun ke arah kawasan letak kenderaan di situ.

Beliau berkata, cubaan lelaki itu seterusnya bagaimanapun dapat dihentikan peserta demonstrasi itu.

“Sebaik dikenal pasti sebagai individu yang bertanggungjawab melakukannya, lelaki itu dihalang peserta perhimpunan itu,” katanya.

Beliau menambah, polis yang tiba di kawasan itu meredakan keadaan, selain diberi rawatan kerana cedera ringan selepas terbabit dalam pergelutan dengan peserta Bersih 4.

“Pasukan perubatan merawat lelaki itu sebelum dia ditahan,” katanya.

Empat peserta perhimpunan yang cedera turut mendapat rawatan serta merta.

Seorang pegawai perubatan yang dikenali sebagai Yap berkata, bagaimanapun kecederaan yang dialami tidak serius.

Selepas nyanyian Negaraku berkumandang, kedengaran satu lagi letupan tetapi keadaan terkawal apabila peserta perhimpunan itu mula bersurai. – MSTAR ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.