FELDA Taja RM100,000 Dalam Kejohanan Perahu Layar KFC-FELDA Terbuka Johor 2015

KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) berbesar hati menaja RM100,000 dalam Kejohanan Perahu Layar KFC-FELDA Terbuka Johor 2015 yang dijadualkan berlangsung bulan ini.

Tahun ini merupakan tahun kelima FELDA menaja bagi sukan air ini bermula pada 17 hingga 20 September bertempat di Pantai Tanjung Leman, Mersing, Johor.
Penyerahan penajaan telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Besar FELDA, Anuar Malek yang diadakan di Menara Felda, di sini hari ini. 
Timbalan Presiden Persatuan Pelayaran Johor, Hj. Lukman Hj. Abu Bakar menzahirkan rasa gembira dengan penajaan FELDA ini.
“Kejohanan Perahu Layar KFC-FELDA Terbuka Johor 2015 ini ditaja oleh FELDA selaku penaja utama dengan penajaan sebanyak RM100,000. 
“Ini merupakan tahun kelima berturut-turut FELDA menjadi penaja utama kejohanan ini selepas kali pertama kejohanan ini diadakan di Tanjung Leman, Mersing pada tahun 2011,” kata Lukman ketika berucap dalam majlis penyerahan penajaan.
Selain tajaan bernilai RM100,000 untuk sukan air tahun ini, FELDA juga telah menyumbang sepuluh unit perahu layar yang baru pada tahun lepas.
Johor Land Berhad dan KFC juga adalah penaja yang terbabit dalam kejohanan perahu layar ini.
Menurut Lukman, hasil tajaan FELDA telah membuka ruang kepada anak-anak FELDA untuk turut sama menyertai sukan perahu layar yang dilihat mampu menjadi sukan pilihan di peringkat antarabangsa.
Beliau turut menjelaskan, semakin ramai anak-anak FELDA menyertai latihan perahu layar berpusat di Tanjung Leman.
“Pihak kami amat menghargai segala sumbangan dan kerjasama FELDA selama ini yang telah banyak memberikan manfaat kepada para pelajar khusunya anak-anak FELDA untuk menceburi sukan perahu layar ini berpusat di Pusat Pembangunan Perahu Layar FELDA di Tanjung Leman, Mersing, Johor.
“Ia juga membuka ruang dan peluang kepada anak-anak FELDA Gugusan Tenggaroh untuk menceburi sukan perahu layar ini. 
“Sehingga kini, jumlah anak FELDA yang mengikuti program latihan perahu layar di Tanjung Leman adalah lebih dari 30 orang yang berusia antara 7 hingga 17 tahun. Alhamdulillah. Seramai 10 orang daripada jumlah ini berjaya diketengahkan untuk mewakili negeri Johor dalam kejohanan-kejohanan perahu layar yang diadakan di seluruh negara,” katanya.
Malah, kejayaan penyertaan anak-anak FELDA menyertai sukan air ini membuahkan hasil apabila ada diantaranya menyertai acara perahu layar di Sukan Malaysia (SUKMA KE-17) tahun lalu.
Kejohanan Perahu Layar Terbuka Johor kali pertama dianjurkan pada tahun 2003 oleh Persatuan Pelayaran Johor di Tanjung Langsat, Pasir Gudang sebelum dipindahkan ke Tanjung Leman, Mersing pada tahun 2011. 
Kejohanan ini dijangka akan disertai lebih dari 150 atlet dari 15 buah persatuan dan kelab dari seluruh Malaysia termasuk Indonesia yang akan bertanding dalam empat kategori utama perahu layar; Optimist, Laser, International 420 dan Windsurfing.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.