FGV Dalam Peringkat Akhir Rundingan Pengambilalihan Ekuiti PT Eagle High

SUNGKAI – Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) kini dalam peringkat akhir perbincangan untuk mengambil alih 37 peratus kepentingan ekuiti syarikat perladangan sawit di Indonesia, PT Eagle High Plantations (EHP) daripada Rajawali Group, kata Pengerusinya Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Beliau berkata cadangan pengambilalihan itu dijangka mampu memberi keuntungan jangka panjang serta mengukuhkan lagi kedudukan FGV dalam sektor perladangan sawit di negara berkenaan.

“Di samping itu, ia dapat memperluaskan perladangan kelapa sawit, ini sebagai satu daripada usaha FGV untuk memperluaskan perniagaan dan dapat meningkatkan lagi pendapatan syarikat,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Cemerlang Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan Trolak kali ke-4 di sini, Khamis.

Beliau berkata FGV akan mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) tidak lama lagi dengan pemegang saham FGV akan menentukan sama ada syarikat itu wajar meneruskan pengambilalihan itu atau sebaliknya.

“Kita sudah mengadakan perbincangan ini sejak empat atau lima bulan lepas. Ini adalah masa yang sesuai sekali walaupun negara berdepan dengan keadaan ekonomi tidak menentu pada masa ini,” katanya.

Mohd Isa berkata FGV juga telah menghantar beberapa wakil daripada pengurusan tertinggi serta peneroka Felda ke negara berkenaan bagi melawat ladang kelapa sawit dan tebu milik EHP bagi tujuan pengambilalihan tersebut.

Pada 12 Jun lepas, FGV menandatangani Perjanjian Dasar Induk dengan Rajawali Group untuk mengambil alih 37 peratus kepentingan dalam EHP pada US$680 juta secara tunai dan pertukaran saham.

EHP memiliki ladang sawit seluas 425,000 hektar, dengan 67 peratus di Kalimantan dan selebihnya di Papua New Guinea (sembilan peratus), Sulawesi (19 peratus) serta Sumatera (lima peratus). – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.