KE7B: Shahrom Sedia Jelajah Kutub Selatan Bulan Depan

KUALA LUMPUR: Wakil tunggal negara dalam ekspedisi menjelajah Kutub Selatan ‘All The Way 2015’, Shahrom Abdullah sudah bersedia memulakan ekspedisi sejauh 1,000 kilometer bermula 17 November ini. Shahrom, 36, yang juga atlet sukan lasak negara, berkata beliau sudah cukup bersedia selepas selesai menjalani empat fasa latihan intensif sejak sembilan bulan lalu.

Latihan itu merangkumi latihan di kaki Gunung Everest, Nepal; Norway; Alaska dan latihan terakhir dalam negara bagi menggalas cabaran ekspedisi anjuran Kelab Eksplorasi Tujuh Benua Malaysia (KE7B). Beliau bercakap kepada pemberita selepas selesai menjalani latihan terakhir mendaki bersama bebanan seberat 40 kilogram sejauh lima kilometer dari Genting Sempah ke Bukit Tinggi dekat sini.

Shahrom yang berasal dari Felda Ciku di Gua Musang, berkata beliau dijangka mengambil masa selama 60 hari untuk menjelajah dari titik permulaan Messner dan berakhir di titik kosong darjah di Kutub Selatan.

“Cabaran di sana agak getir dengan keadaan cuaca ekstrem… sasaran saya adalah untuk menjelajah sejauh 20 kilometer setiap hari,” katanya.

Sementara itu, penasihat KE7B, Datuk Akmar Hisham Mokhles berkata, pemilihan Shahrom untuk menyertai ekspedisi berkenaan adalah berdasarkan tahap kecerdasan dan kebolehan fizikal serta mental.

“Kita tegas dalam pemilihan peserta dan kita pastikan individu yang terpilih mempunyai kekuatan daripada segi fizikal dan mental untuk menghadapi cabaran,” katanya.

Akmar berkata, ekspedisi itu adalah pertama rakyat Malaysia merentasi benua Antartika tanpa menggunakan sebarang alat bantuan.

“Ekspedisi kali ini berbeza dengan mana-mana ekspedisi sebelum ini dan kita harap Shahrom akan menjadi rakyat Malaysia pertama berjaya merentas Kutub Selatan dengan berjalan kaki,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.