Agihan Beras ST15 Untuk Rakyat Termiskin Dikaji

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang menjalankan kajian mendalam mengenai pengagihan beras ST15 sama ada perlu dihentikan atau ditambah baik mekanismanya.

 

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ini kerana sejak program berkenaan dilaksanakan kementeriannya mendapati wujud beberapa masalah.

 

Katanya, walaupun beberapa tindakan sudah diambil pihaknya termasuk menghentikan lesen pihak terbabit, tetapi masalah berkenaan masih lagi berlaku.

 

“Kita sedang mencari jalan terbaik bagi memikirkan mekanisma baharu untuk memastikan usaha kerajaan memberikan bantuan kepada rakyat termiskin mencapai matlamat.

 

“Apapun, kita sedang menjalakan kajian ini dan ia akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang Parlimen hari ini.

 

Ahmad Shabery berkata, pengagihan beras ST15 adalah program sementara yang di buat kerajaan bagi memastikan golongan termiskin mampu membeli beras pada harga paling rendah.

 

Bagaimanapun, katanya, pada masa ini didapati ada tempat yang dilaporkan tidak mendapat bekalan mencukupi manakala terdapat tempat lain yang mempunyai bekalan berlebihan.

 

“Selain itu, kementerian juga mendapati beras untuk rakyat termiskin ini juga boleh dibeli oleh bukan warga negara,” katanya. – BERITA HARIAN

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.