Jerebu: 3,000 Terkandas Di LTA Langkawi Akibat Penutupan

LANGKAWI: Operasi Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Langkawi, di sini, terpaksa ditutup selama dua setengah jam mulai 7.30 pagi ini, akibat masalah jerebu.

 

Pengurus Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) Langkawi, Jefry Ramli, berkata langkah itu diambil selepas jarak penglihatan didapati terhad sehingga 550 meter.

 

Katanya, penutupan itu menyebabkan kira-kira 3,000 penumpang terkandas termasuk sejak semalam.

 

“Untuk hari ini sejak jam 7.30 hingga 11 pagi tiada penerbangan keluar masuk di LTA Langkawi dan jadual terkini bergantung kepada syarikat penerbangan.

 

“Sehingga jam 11.30 pagi ini sebanyak 12 penerbangan sudah dibatalkan dan tiga lagi ditunda,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

 

Antara yang terkandas di LTAL ketika ini adalah 26 murid dan guru Kelas Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan Serdang (SKS), Selangor.

 

Mereka dijadual mengambil penerbangan ke Kuala Lumpur jam 9.10 malam tadi.

 

Penolong kanan sekolah berkenaan, Rafeah Alwi ketika ditemui berkata akibat pembatalan itu, mereka mengalami kesulitan kewangan untuk menampung perbelanjaan.

 

“Bagaimanapun, Alhamdulillah beberapa pihak di sini, tampil membantu kami termasuk menyediakan makan minum dan tempat menginap kepada pelajar,” katanya. – BERITA HARIAN

 

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.