Sisi Dimensi Disebalik Seragam: Misi Merentas Greenland Koperal Yanizam

Slogan “Malaysia Boleh” merupakan laungan keramat yang menjadi pemangkin semangat rakyat Malaysia dalam menjulang nama negara di peringkat global.

Rekod demi rekod tercipta, kejayaan demi kejayaan dilakar membuktikan negara kita setanding dengan negara-negara luar.

Siapa yang tidak mengenali Datuk Azhar Mansur yang telah mencatatkan lagenda rekod pelayaran secara solo mengelilingi dunia, begitu juga dengan Datuk Malik Maidin orang pertama di Asia Tenggara yang berjaya mencatatkan rekod berenang merentasi Selat Inggeris pada tahun 2003 dan Mohammad Muqharabbin Mokhtaruddin pendaki termuda Asia Tenggara yang berjaya menawan Gunung Everets, gunung yang tertinggi di dunia.

Kejayaan yang dicatatkan oleh individu-individu ini telah dikongsikan bersama 28.3 juta penduduk di Malaysia dan menjadi inspirasi kepada sekumpulan anak muda yang menyahut cabaran Misi Rentas Greenland pada tahun 2014.

Apa yang lebih membanggakan, misi ini diketuai oleh seorang anak muda berjiwa kental yang merupakan seorang anggota yang berkhidmat di dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sisi Dimensi Di Sebalik Seragam pada minggu ini akan mengupas kisah seorang anggota polis yang berjiwa besar dan penuh iltizam, yang berhasrat memberikan kisahnya ini untuk dijadikan pembakar semangat kepada anak Malaysia yang lain.

“Tiada kejayaan semanis madu, tanpa pengorbanan sepahit hempedu,” begitulah yang diibaratkan dengan pengalaman yang berbeza dari setiap insan dalam mengejar impian masing-masing.

Menggalas tanggungjawab besar sebagai Ketua Ekspedisi Rentas Greenland, membawa seribu satu coretan manis kepada Koperal Yanizam Bin Muhammad Supiah, 30, anak kelahiran negeri Tok Gajah ini.

Menceritakan detik manis ketika misi, semua penjelajah memulakan ekspedisi di pulau ais terbesar dunia itu pada 28 April 2014, sedikit lewat dari tarikh yang dijadualkan pada 26 April 2014 berikutan cuaca buruk untuk penerbangan helikopter dari Tasiilaq ke Hans Glacier.

Merujuk kepada kedudukan geografi, Greenland merupakan sebahagian dari Amerika Utara dan 80% dari seluruh wilayah ini dilitupi dengan ais yang di beberapa tempat mencecah setebal 3 kilometer.

Para penjelajah juga berhadapan dengan cabaran suhu yang ekstrim.

Suhu yang dilalui oleh mereka adalah di bawah -35 darjah celsius dan berada pada suhu di bawah -40 darjah celsius apabila mencapai ketinggian 2,500 meter sebelum melalui kawasan landai dan menurun tetapi ianya bukan penghalang kepada KPL Yanizam untuk menamatkan misi tersebut.

Pada hari pertama, penjelajah tiba di Hans Glacier dalam keadaan baik dan bersemangat untuk meneruskan perjalanan walaupun berlaku penangguhan pada jadual penerbangan.

Selepas memasuki hari kelima mereka dilaporkan masih berada di dalam keadaan baik dan bersemangat walaupun kepenatan berjalan menggunakan ski sejauh 40 kilometer.

Beliau yang menggalas tugas sebagai ketua ekspedisi, mempunyai tanggungjawab yang berat dalam memastikan keselamatan penjelajah yang lain.

Ketika itulah kekuatan fizikal dan mental teruji kerana berhadapan dengan cabaran cuaca yang sejuk.

Setiap aktiviti penjelajahan dilaporkan oleh Ketua Jurupandu Arah, Maxime Poncet menerusi panggilan telefon satelit ke Adventure Consultant dalam tempoh dua hingga tiga hari sekali.

Ekspedisi merentasi Greenland berkenaan mengambil masa 27 hari yang mana mereka merentasi perjalanan sejauh 540 kilometer dari timur ke barat pulau jajahan Denmark itu.

Kumpulan penjelajah negara ini menjadi kumpulan pertama dari Asia Tenggara yang menamatkan ekspedisi berkenaan.

Tujuan misi jelajah selama 35 hari ini adalah untuk membuktikan bahawa rakyat Malaysia juga mampu berdepan cabaran selain menyahut cabaran Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Abdul Razak yang mahu melihat anak-anak muda Malaysia terus melakar pelbagai kejayaan cemerlang demi menaikkan imej negara di mata dunia dan di samping itu turut menjadi kebanggaan rakyat Malaysia dan seluruh warga PDRM.

Bak kata pepatah, perjalanan yang jauh itu dimulai dengan langkah yang pertama, dan sudah tentunya usaha ekspedisi ini dituruti dengan drama emosi, lantaran kepayahan dan kecekalan yang dituntut untuk menyelesaikannya kerana untuk mencapai kejayaan ini ianya memerlukan pengorbanan masa dan tenaga.

yanizam

Anak kedua daripada 10 orang adik beradik ini merupakan anak jati FELDA Keratong dan beliau telah memilih kerjaya dalam bidang kepolisan sejurus selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia.

Kini setelah hampir 10 tahun berkhidmat dalam pasukan, Koperal Yanizam telah mengorak langkah mencipta kejayaan dalam arena sukan di peringkat nasional.

Siapa sangka dari seorang anak FELDA, beliau kini merupakan seorang anggota di dalam Unit Tindak Khas (UTK) Bukit Aman, salah satu unit elit PDRM.

Beliau juga sebelum ini pernah berkhidmat selama lima tahun di dalam Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 15 di Sandakan, Sabah.

Telah berkahwin dan bakal mempunyai cahaya mata, KPL Yanizam tidak lokek berkongsi pengalaman menceritakan pahit manis beliau semasa bertugas di dalam pasukan dan apakah yang mendorong beliau untuk menyertai Misi Rentas Greenland yang ternyata menuntut kemahiran dan tahap kesabaran yang tinggi.

Semasa bertugas sebagai anggota PGA lima tahun yang lepas, beliau pernah diarahkan untuk membuat rondaan di sempadan perairan negara menggunakan aset PDRM.

Beliau menceritakan itu merupakan pengalaman pertama beliau menaiki bot dan ketika itulah baru beliau sedari yang pada hakikatnya beliau tidak dapat menyesuaikan diri di atas laut (mabuk laut).

Namun dek kerana kecekalan dan tanggungjawab terhadap tugas yang diamanahkan, beliau berjaya mengatasi masalah ‘mabuk laut’ itu setelah kerap membuat rondaan di perairan negara.

Baginya, tidak susah untuk menyesuaikan diri dengan keadaan semasa selagi ada kemahuan dan keinginan semua tugas akan dilaksanakan dengan sempurna dan komited.

Oleh kerana minat yang mendalam dalam aktiviti fizikal yang agak mencabar, KPL Yanizam mencuba nasib dan memohon untuk memasuki pasukan elit UTK.

Ianya adalah atas dorongan minat serta keinginan menimba pengalaman dalam bidang berlainan.

Umum mengetahui untuk berkhidmat di dalam pasukan elit PDRM ini harus melepasi beberapa ujian saringan fizikal yang sememangnya bukan sesuatu yang mudah.

Berbekalkan kekuatan fizikal dan mental, beliau telah berjaya menamatkan Kursus Asas UTK selama tiga bulan.

Impian akhirnya menjadi kenyataan apabila kini beliau telah pun berkhidmat dalam pasukan elit ini selama empat tahun.

Rentetan itu, KPL Yanizam menggunakan kelebihan yang beliau ada untuk menyahut cabaran dalam Misi merentasi Greenland bersama lapan lagi penjelajah Malaysia termasuk seorang anggota UTK iaitu L/Kpl Shaifulnizam Abdul Aziz.

Menerusi pengalaman itu beliau berpendapat ianya dapat membentuk disiplin dan keperibadian beliau sebagai anggota polis dan menjadikan ia sebagai kayu pengukur untuk berkhidmat dalam mempertahankan keamanan negara.

Sekiranya diberikan peluang, beliau ingin berkhidmat dalam semua cawangan PDRM, kerana baginya ia adalah suatu pengalaman dan sumber pendidikan yang tidak dapat dicari di tempat lain.

Beliau yang pernah mengukir kejayaan dalam bidang sukan pernah mewakili kontinjen Sabah dalam Sukan 3 Wilayah di negara Brunei Darussalam dalam acara marathon dan mendapat tempat kedua.

Beliau juga pernah mewakili kontinjen Bukit Aman dalam acara olahraga 800 meter dan berjaya mendapat tempat ketiga.

Demikianlah kejayaan yang dicipta oleh KPL Yanizam yang diharap dapat memberikan inspirasi kepada belia di luar sana.

Semakin tinggi gunung didaki semakin kita merendah diri, begitulah diibaratkan Kpl Yanizam, walaupun telah mencipta rekod Malaysia, beliau tidak pernah meninggi diri bahkan anggota yang begitu meminati dunia kepolisan ini berharap suatu masa nanti beliau dapat memberikan lebih banyak sumbangan kepada pasukan dan negara.

[ Sumber: PDRM ]

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.