Cub Prix: Fitri Tekad Tewaskan Rakan Sepasukannya Affendi Di Litar Johor

KUALA LUMPUR – Mohd Fitri Ashraf Razali perlu memilih diantara keinginan untuk meraih kejayaan peribadi ataupun keutamaan membantu pasukan bergelar juara keseluruhan pada pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Litar Johor, Pasir Gudang, Johor, 20 dan 21 November ini.

Selepas sembilan pusingan, pelumba pasukan PETRONAS Yamaha-CKJ itu kini terikat di kedudukan kedua keseluruhan dengan mengumpul 84 mata bersama rakan sepasukan, Mohd Affendi Rosli manakala pasukan mereka di tangga teratas berpasukan dengan 211 mata manakala PETRONAS Yamaha Maju Motor kedua dengan 182 mata.

Keputusan di pusingan terakhir bakal menjadi penentu bagi kedua-dua pelumba ini, namun pertembungan ini agak rumit memandangkan kedua-duanya juga perlu memastikan kutipan mata maksimum dilitar sepanjang 3.86km ini bagi memastikan Anugerah Pasukan Terbaik menjadi milik mereka.

Fitri akui situasi tersebut mencetuskan dilema dalam dirinya bagi menghadapi perlumbaan minggu ini.

FItri (dua kiri) tekad menewskan Affendi (dua, kanan) selain membantu pasukan PETRONAS Yamaha-CKJ muncul pasukan terbaik
FItri (dua kiri) tekad menewskan Affendi (dua kanan) selain membantu pasukan PETRONAS Yamaha-CKJ muncul pasukan terbaik

“Andaikata pada perlumbaan akhir nanti pertembungan terarah kepada kami berdua, sudah pasti saya akan berusaha untuk menewaskan Affendi. Cuma pada masa sama kami tidak boleh terlalu agresif atau melakukan tindakan yang akan merugikan kami berdua,” jelas Fitri.

“Jika kami mengetepikan kepentingan pasukan dan menumpukan kepada pencapaian individu sahaja, kami masih perlu berhati-hati kerana jika terjatuh, pasti ia akan menguntungkan Muhaimin (Abdul Muhaimin Roslan di kedudukan keempat dengan 78 mata) manakala kami akan berputih mata.”

“Saya tidak menjangkakan pencapaian saya di awal musim begitu teruk. Memang tidak dinafikan saya memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan keserasian setelah beralih ke jentera Yamaha pada musim ini.”

“Namun tidak sangka pula ia mengambil masa sehingga habis separuh musim pertama saingan tahun ini. Tetapi saya tidak menyerah kalah dan tidak mudah berputus asa. Prestasi saya semakin baik sewaktu perlumbaan di Teluk Intan. Malah, dengan dua kemenangan berturut-turut bermula pusingan kelapan di MAEPS dan Jempol, saya kini naik ke tangga kedua keseluruhan,” ujarnya mengulas lanjut.

“Saya teringat nasihat daripada bekas pelumba MotoGP yang juga merupakan jurulatih saya ketika beraksi di saingan Asia Dream Cup pada tahun 2013. Nakano menjelaskan yang mana saya memiliki kemahiran dan bakat, namun saya perlu ingat akan satu perkara – terlalu baik di litar susah nak menang,” tambahnya menjelaskan bagi menangani situasi yang bakal dilalui pada perlumbaan minggu ini.

Peminat-peminat Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS dijemput beramai-ramai menyaksikan perlumbaan terakhir musim 2015 pada 20hb dan 21hb November ini. Masuk adalah percuma!

Fitri meraikan kemenangan di Jempol

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.