Jenazah Kapten Hasman Tiba Di KLIA Esok

SHAH ALAM – Jenazah pegawai Angkatan Tentera Malaysia, Kapten Hasman Hussin, yang meninggal dunia dalam kejadian kenderaannya dihanyutkan banjir di Missouri, Amerika Syarikat, dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 1.15 petang esok.

Menurut sumber, jenazah akan terus dibawa ke Masjid As-Syuhada, Kem Terendak, Melaka untuk penghormatan dan solat jenazah.

“Jenazah kemudiannya akan dibawa ke surau Sek Men Agama Imtiaz Ulul Albab, Masjid Tanah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kg Durian Daun, Masjid Tanah, Melaka,” menurut sumber berkenaan lagi.

Markas Tentera Darat dalam satu kenyataan sebelum ini berkata, jenazah Allahyarham dijangka diterbangkan menggunakan pesawat China Airlines pada 5 Januari kira-kira 12.20 pagi waktu Amerika Syarikat (1.20 petang waktu Malaysia).

Pesawat melalui Taipei dan akan transit selama tiga jam, katanya.

Allahyarham Hasman, 33, yang sedang menjalani kursus di Fort Leonard Wood sejak 1 Oktober lepas dilaporkan hilang pada 26 Disember apabila kenderaan yang dinaiki bersama rakan kolejnya dihanyutkan banjir di Missouri, yang turut meragut nyawa empat rakannya.

Markas Tentera Darat mengesahkan mayat Allahyarham dijumpai pada 11 pagi, 28 Disember waktu tempatan (1 pagi, 29 Disember waktu Malaysia). – SINAR HARIAN

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.