Johor Baharu Perlukan 700 Bilik Hotel Untuk Tampung Pelancong

JOHOR BAHARU – Bandar raya Johor Baharu masih memerlukan kira-kira 700 buah bilik hotel bertaraf tiga bintang ke atas bagi menampung kedatangan pelancong di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong berkata setakat ini terdapat 9,289 bilik hotel bertaraf tiga bintang ke atas di sini, yang dilihat belum mencukupi untuk menampung permintaan pelancong asing mahupun tempatan.

“Kekurangan bilik ini menunjukkan industri pelancongan di Iskandar Malaysia khususnya Johor Baharu berkembang pesat lebih-lebih lagi dengan adanya produk pelancongan berasaskan taman tema di sekitar bandar raya ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat Hotel Swiss-Inn, di sini, hari ini.

Hotel baharu itu menawarkan 205 bilik pelbagai saiz yang mampu menempatkan dua hingga enam orang, bergantung kepada saiz dengan majlis pra-pelancarannya dijadualkan berlangsung esok.

Sehubungan itu, Tee turut meminta semua pemilik hotel supaya bersama-sama membantu mempromosikan destinasi pelancongan di negeri ini termasuk melalui saluran televisyen khas di dalam setiap bilik penginapan bagi meningkatkan kadar kemasukan pelancong ke Johor.

Sementara itu, Tee berkata pihaknya berhasrat mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abd Latif Bandi berhubung tindakan pemilik rumah menjadikan kediaman mereka sebagai inap desa.

Menurutnya, inap desa adalah konsep perkhidmatan penginapan membabitkan lebih 10 buah rumah tradisi yang beroperasi di dalam sesebuah perkampungan dan bukannya hanya sebuah rumah.

“Perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan perlu dibuat untuk mencari garis panduan sesuai berhubung inap desa demi keselamatan dan menjaga imej negeri ini,” katanya dan menambah terdapat 21 inap desa yang berdaftar di seluruh negeri ini.

Dalam perkembangan lain, Tee berkata usaha mempromosi produk pelancongan Johor ke negara serantau akan terus digiatkan kerajaan negeri, agensi kerajaan dan swasta berkaitan menerusi Forum Pelancongan Asean (ATF) 2016 di Manila, Filipina pada 18 hingga 24 Jan ini.

Beliau yang akan mengetuai delegasi tersebut berkata pihaknya akan memperkenalkan ikon dan produk pelancongan Johor menerusi misi ‘Explore Johor’ yang akan diadakan sehari sebelum perasmian ATF bagi menarik kehadiran pelancong dari negara yang menyertai ATF terutamanya Filipina.

Mengikut rekod, sejumlah 291,789 orang pelancong dari Filipina mengunjungi Johor sejak Januari hingga Ogos lepas dengan kebanyakannnya mengunjungi taman-taman tema di bandar raya ini, katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.