Memorial, Galeri Bersejarah Disaran Naik Taraf Sistem Penyampaian

KUALA LUMPUR – Memorial dan galeri yang memaparkan sejarah negara ini disaran menaik taraf sistem penyampaian mereka daripada berbentuk statik kepada bersifat interaktif untuk meningkatkan keberkesanan penyampaian maklumat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata inisiatif tersebut bukan sahaja sejajar dengan perkembangan teknologi semasa, bahkan adalah kaedah yang mampu menarik minat pengunjung untuk melawat memorial dan galeri tersebut.

“Kita ingin melihat galeri atau Memorial Tun Abdul Razak ini dan memorial yang lain lebih menarik dan untuk itu kita perlukan bukan sahaja bahan-bahan (pameran dan maklumat) yang bersifat statik sahaja tetapi juga interaktif.

“Itulah yang sesuai dengan zaman sekarang yang dikatakan oleh generasi muda hari ini iaitu kalau sesuatu itu berbentuk interaktif ia ‘very cool’,” katanya semasa berucap melancarkan Galeri Interaktif Memorial Tun Abdul Razak di sini hari ini.

Beliau berkata sistem penyampaian interaktif itu nanti diharap dapat menarik lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara ke memorial serta galeri bersejarah di negara ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata usaha mewujudkan memorial bagi memperingati jasa pemimpin terdahulu bukan sahaja bertujuan mengenang jasa mereka tetapi untuk dijadikan rujukan oleh generasi hari ini bagi mengetahui pengorbanan pemimpin terdahulu.

Beliau berkata generasi hari ini perlu didedahkan kepada pengetahuan mengenai pemimpin terdahulu bagi mengingatkan mereka bahawa apa yang diwarisi hari ini adalah hasil usaha generasi terdahulu.

tun razak memorial

“Saya juga melihat inisiatif ini sebagai untuk memberi makna kepada institusi perdana menteri yang merupakan tonggak kepada pentadbiran negara.

“Maknanya sesiapa yang duduk sebagai Perdana Menteri, dia juga membawa institusi Perdana Menteri untuk sama-sama didukung oleh kita, dihormati oleh kita kerana jika kita melakukan perkara ini maka negara kita akan lebih kukuh dan dihormati,” katanya.

Di akhir ucapannya, Najib berharap Jabatan Arkib Negara yang menguruskan Memorial Tun Abdul Razak dapat menjaga memorial itu sebaik mungkin kerana ia adalah tempat yang menyimpan banyak kenangan keluarga bersama ayahanda beliau, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

“Saya berharap ia akan terus diabadikan dan kekal zaman berzaman sebagai sebuah khazanah dan warisan sejarah,” katanya.

Bangunan memorial tersebut yang terletak di Jalan Perdana di sini, dahulunya dikenali sebagai Bangunan Sri Taman, merupakan kediaman rasmi Tun Abdul Razak dari 1962 hingga 1976.

Di sini jugalah, Najib, yang merupakan anak sulung Allahyarham, membesar dan mencipta nostalgia kekeluargaan bersama ayahandanya itu.

Bangunan itu dijadikan sebagai Memorial Tun Abdul Razak pada 1982 bagi mengenang dan memperingati perjalanan hidup serta pengorbanan Allahyarham yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri kedua Malaysia antara 1970 hingga 1976.

Berkeluasan 1,200 meter persegi, memorial ini menempatkan sebanyak 1,650 barangan kepunyaan Allahyarham Tun Razak terdiri daripada pelbagai kategori termasuk biografi, barangan milik peribadi, politik dan pendidikan.

Hari ini genap 40 tahun pemergian tokoh negarawan itu yang banyak menabur jasa membentuk asas pembangunan Malaysia menerusi dasar yang dilaksana sepanjang pentadbirannya seperti Dasar Ekonomi Baru dan penubuhan Felda selain Penyata Razak yang menjadi hala tuju dasar pendidikan negara.

Berikutan kejayaan Allahyarham melaksanakan pelbagai dasar sehingga mengubah dan menentukan landskap pembangunan negara ini, beliau mendapat gelaran ‘Bapa Pembangunan Malaysia’. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.