FIC Dijangka Terus Berkembang Dalam Tempoh Empat Tahun – Hanapi

TAWAU – Felda Investment Corporation (FIC) dijangka terus berkembang dalam tempoh tiga hingga empat tahun selepas penubuhannya, kata Pengarah Besar Felda Datuk Hanapi Suhada.

Beliau berkata keyakinan itu bersandarkan pelaburan pelbagai bidang yang di lakukan termasuk pembelian hartanah antaranya hotel di London yang menerima penginap sehingga 90 peratus setiap bulan.

“Tidak rugi melabur membeli hartanah ini kerana apabila membuat penilaian kami mendapat pulangan mencecah RM2 juta setahun untuk hotel di London begitu juga dengan pembelian hotel di Bukit Katil, Melaka yang turut positif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin-Pemimpin Peneroka Felda Wilayah di sini Jumaat malam.

fic

Katanya, kewujudan FIC antara transformasi yang dilakukan Felda ke arah berfikir secara kritis dalam menjana pendapatan lumayan selepas kejayaan dikecapi Felda Global Ventures (FGV).

Jelasnya, pendapatan RM6 bilion dalam tempoh setahun menerusi FIC cukup untuk menggerakkan Felda, dengan peruntukan RM1.4 bilion telah diserahkan kepada peneroka yang menerima RM15,000 setiap keluarga manakala selebihnya RM3.6 bilion digunakan untuk pelaburan pelbagai bidang.

Terdahulu Hanapi berkata FGV membawa dimensi baharu untuk Felda melakukan transformasi dengan berfikir lebih kreatif untuk menjana pendapatan yang lumayan dan menguntungkan.

“FGV membuka mata bagaimana menjana pendapatan kerana kita (Felda) tidak boleh terus berada di tempat sama, perlu berubah dan berkembang,” katanya.

Hanapi berkata walaupun hasil FGV yang diperoleh selepas pelaburan kurang daripada pendapatan sebelumnya namun program pembangunan Felda masih berjalan seperti biasa.

“Program Tanam Semula, Projek Pembesaran Rumah, aspek pendidikan, wang sara hidup peneroka masih berjalan seperti biasa begitu juga dengan Projek Rumah Generasi Kedua yang sedang dalam perbincangan untuk terus dibina,” jelasnya. – BERNAMA

dato napi
Datuk Hanapi Suhada, Pengarah Besar FELDA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.